Fabinho tinggalkan Liverpool untuk sertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad

Astro Arena
Ogos 1, 2023 13:06 MYT
Pemain Brazil itu menjadi pemain Liverpool kedua yang berpindah ke Arab Saudi berikutan penghijrahan Jordan Henderson ke Al-Ettifaq. - Foto Stadium Astro
FABINHO telah melengkapkan perpindahannya dari Liverpool ke Al-Ittihad, kelab Liga Pro Saudi telah mengesahkan.
Pemain Brazil itu menjadi pemain Liverpool kedua yang berpindah ke Arab Saudi berikutan penghijrahan Jordan Henderson ke Al-Ettifaq.
Dalam mesej perpisahan yang dimuatnaik di media sosial, Fabinho berkata, “Hari ini saya meninggalkan rumah saya.
“Sudah lima tahun menyarung jersi ini dan ia sentiasa menjadi penghormatan dan kebahagiaan yang terbaik.”
Fabinho juga merupakan nama besar terbaharu yang menyertai Al-Ittihad, mengikuti pemain seperti bekas bintang Real Madrid, Karim Benzema dan bekas pemain Chelsea dan Leicester, N’Golo Kante.
Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Liverpool dari Monaco pada 2018 dan menikmati kerjaya cemerlang di Merseyside, memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris, serta Piala FA dan Piala Dunia Kelab. -- Stadium Astro
#Fabinho #pemain Brazil #perpindahan #kelab ArabSaudi #Al-Ettifaq
;