F1: Verstappen lebar penguasaan selepas Leclerc kemalangan dalam GP Perancis
Astro Arena
Julai 25, 2022 09:30 MYT
Julai 25, 2022 09:30 MYT
MAX Verstappen melebarkan kelebihannya di kedudukan teratas kategori pemandu dengan 63 mata dengan menjuarai perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Perancis selepas Charles Leclerc mengalami kemalangan sewaktu mendahului perlumbaan malam tadi.
Insiden gagal menamatkan perlumbaan terbaru buat Leclerc menyaksikan impiannya untuk bergelar juara keseluruhan musim ini kian rapuh sambil Verstappen berkemungkinan besar akan selesa mempertahankan kejuaraannya.
Pelumba Belanda, Verstappen, menamatkan perlumbaan dengan 10 saat di depan Lewis Hamilton manakala George Russel pula menduduki tempat ketiga bagi memastikan Mercedes meraih kedudukan podium berganda buat kali pertama sepanjang musim ini.
Permulaan kukuh Hamilton penyaksikan dia memintas Sergio Perez dalam pusingan pembukaan dan membuatkan Verstappen dalam keadaan tertekan walaupun juara bertahan itu mengekalkan ketenangan untuk tidak dipintas.
Kelebihan Red Bull di laluan lurus menyaksikan Verstappen mengekori rapat Leclerc sepanjang 10 pusingan pertama tetapi dia tidak dapat melakukan gerakan memintas, di mana pendekatan agregif berkemungkinan akan memendekkan hayat tayarnya.
Verstappen merupakan pemandu di kelompok depan pertama masuk ke hentian pit dalam pusingan ke-16 untuk menukar tayar berkompaun keras sambil Leclerc kekal di litar sebagai menunjukkan bakal menggunakan strategi satu hentian pit tetapi ia jelas satu kesilapan yang menjejaskan peluangnya untuk bergelar juara keseluruhan hanya berselang dua pusingan.
Buat kali ketiga musim ini, Leclerc tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terlanggar dinding litar.
Kereta keselamatan kemudian dikeluarkan ketika Verstappen mendahului perlumbaan -- malang berganda buat Ferrari apabila Carlos Sainz dikenakan penalti lima saat berikutan tindakannya keluar daripada pit secara tidak selamat sewaktu kereta keselamatan masih di litar.
Keputusan perlumbaan:
1. Max Verstappen (Red Bull)
2. Lewis Hamilton (Mercedes) +10.587
3. George Russell (Mercedes) +16.495
4. Sergio Perez (Red Bull) +17.310
5. Carlos Sainz (Ferrari) +28.872
6. Fernando Alonso (Alpine) +42.879
7. Lando Norris (McLaren) +52.026
8. Esteban Ocon (Alpine) +56.959
9. Daniel Ricciardo (McLaren) +60.372
10. Lance Stroll (Aston Martin) +62.549
Kedudukan kategori pemandu:
1. Max Verstappen (Red Bull) 233
2. Charles Leclerc (Ferrari) 170
3. Sergio Perez (Red Bull) 163
4. Carlos Sainz (Ferrari) 144
5. George Russell (Mercedes) 143
Kedudukan kategori pengeluar:
1. Red Bull 396
2. Ferrari 314
3. Mercedes 270
4. Alpine 93
5. McLaren 89