F1 uji peranti penyejuk untuk pemandu

Bernama
Julai 20, 2024 10:29 MYT
Gabungan cuaca panas, pemakaian topi keledar serta pakaian kalis api pada hari perlumbaan boleh menyebabkan pemandu kereta F1 tidak selesa. - Reuters
BUDAPEST: Formula Satu (F1) akan menguji sistem penyejukan untuk kokpit selepas bimbang pemandu terdedah kepada suhu melampau, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik laman sesawang motorsport.com.
Gabungan cuaca panas dan pemakaian topi keledar serta pakaian kalis api selama dua jam pada hari perlumbaan boleh menyebabkan pemandu kereta F1 tidak selesa.
Pada Grand Prix Qatar tahun lepas, pemandu mengalami suhu melebihi 30 darjah Celsius dengan kelembapan melebihi 70 peratus. Beberapa pemandu telah dibawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan selepas perlumbaan.
Logan Sargeant yang mewakili pasukan Williams terpaksa menarik diri akibat kepanasan manakala pemandu Alpine, Esteban Ocon mendedahkan dia muntah di dalam jentera dipandunya.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang mentadbir telah bertindak dengan mengubah suai peraturan, menurut motorsport.com yang melihat surat rasmi berkenaan.
Pengenalan pengudaraan dalam kokpit akan menyalurkan udara sejuk kepada pemandu. Ujian akan dijalankan selepas rehat pertengahan musim yang bermula selepas Grand Prix Belgium pada 28 Julai. Grand Prix Belanda pada 25 Ogos adalah tarikh permulaan yang berpotensi.
-- BERNAMA
#Grand Prix #F1 #Formula Satu #peranti penyejuk #pemandu #suhu panas