F1: Hamilton persoal masalah enjin dihadapinya musim ini

Bernama
Oktober 2, 2016 07:13 MYT
Pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg berlanggar di selekoh pertama pada Perlumbaan F1 Petronas Malaysian Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang, pada Ahad. - fotoBERNAMA
Juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton membangkitkan keraguan serius sama ada wujud konspirasi dalaman untuk memberi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini kepada rakan sepasukan, Nico Rosberg.
Persoalan tersebut timbul selepas enjin Mercedes kenderaan Hamilton terbakar dalam situasi paling dramatik pada pusingan ke-41 ketika mendahului pelumba lain selepas memulakan Grand Prix F1 Malaysia di petak utama di Litar Sepang pada Ahad.
Insiden tersebut memaksa pelumba Britain itu terpaksa mengakhiri saingan dan memberi kemenangan satu dua kepada pelumba Red Bull Racing, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen.
Kedua-dua pelumba Red Bull itu memulakan cabaran di barisan kedua di belakang Hamilton dan Rosberg.
Rosberg, yang menamatkan saingan di tempat ketiga, bagaimanapun, masih mendahului carta kejuaraan keseluruhan dengan 288 mata, kelebihan 23 mata di hadapan Hamilton.
"Saya perlu fikir ke depan. Saya tidak percaya daripada lapan kereta Mercedes, hanya enjin saya yang mengalami masalah ini, ada sesuatu yang tidak kena.
"Ia adalah enjin baharu. Adalah cukup ganjil bila ada 43 enjin untuk Mercedes dan hanya yang saya gunakan berdepan masalah ini," katanya.
Hamilton berkata, terdapat banyak enjin Mercedes untuk pemandu mereka musim ini dan beliau pelik mengapa hanya enjinnya yang kerap berdepan masalah musim ini.
"Kami sedang bersaing untuk kejuaraan dunia dan hanya enjin saya yang gagal. Ia tidak kena bagi saya. Saya akan cuba bangkit semula untuk perlumbaan minggu depan di GP Jepun.
"Ada orang yang tidak mahu saya memenangi gelaran tahun ini tetapi saya tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha," kata pelumba berusia 31 tahun itu.
Saingan GP F1 2016 masih berbaki lima perlumbaan daripada keseluruhan 21 perlumbaan untuk musim ini. - BERNAMA
#enjin terbakar #GP F1 2016 #konspirasi dalaman #Lewis Hamilton #Mercedes #Nico Rosberg
;