F1: Hamilton nafi sengaja perlahankan keretanya

Astro Arena
April 29, 2017 12:03 MYT
Mercedes bergelut untuk menyamai kelajuan Ferrari dengan Bottas dan Hamilton masing-masing ketinggalan 0.670 saat dan 0.709s. - AP Photo/Petr David Josek
Pemandu Lewis Hamilton menafikan dakwaan Sebastian Vettel bahawa Mercedes sengaja beraksi hambar ketika sesi ujian bebas semalam menjelang perlumbaan di GP Formula One Rusia esok.
Ferrari mencatat masa terpantas semalam di Sochi dengan pendahulu kejuaraan, Vettel, dan Kimi Raikkonen mencatat masa terpantas ketika sesi ujian bebas kedua (FP2).
Mercedes bergelut untuk menyamai kelajuan Ferrari dengan Bottas dan Hamilton masing-masing ketinggalan +0.670 saat dan +0.709s.
Ditanya sama ada dia berpendapat The Silver Arrows dengan sengaja memperlahankan kenderaan, Vettel berkata:"Ya, pada saya mereka tidak akan berdepan masalah. Litar ini sangat sesuai dengan jentera mereka.
"Litar ini tampak seperti litar Mercedes. Bagi saya, mereka tidak mempamerkan kekuatan sebenar hari ini, dan mereka tidak melakukan pusingan bersama-sama, jadi jurang yang kamu lihat hari ini adalah dibuat-buat."
Bagaimanapun, Hamilton menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tindakan memperlahankan kenderaan tidak akan meninggalkan kesan positif.
"Kami tidak pernah dengan sengaja beraksi kurang baik. Tiada kebaikan yang akan timbul dengan memperlahankan kenderaan kami," kata tiga kali juara dunia itu.
"Mungkin Ferrari pernah melakukannya tetapi bagi saya, ia tidak akan membawa kesan positif. Kami cuba memastikan jentera berada dalam keadaan seimbang tetapi ujian bebas hari ini sedikit menyukarkan.
"Saya tidak tahu mengapa dia mendakwa sedemikian, mungkin Sebastian hanya cuba mengaburi mata kami.
"Bagi saya, jentera mereka sangat pantas."
#F1 #Ferrari #Lewis Hamilton #Mercedes #Rusia #Sebastian Vettel #Sochi
;