F1: Grand Prix Turki dibatalkan

Astro Awani
Mei 15, 2021 08:06 MYT
Pemandangan di litar GP Turki F1 di Istanbul Park, Istanbul, 15 Nov, 2020. REUTERS
AKIBAT keadaan penularan COVID-19 yang semakin teruk, Grand Prix (GP) Turki terpaksa dibatalkan, dua minggu selepas ia disenaraikan dalam kalendar perlumbaan.
Aksi tersebut sebaliknya akan digantikan dengan perlumbaan Formula One (F1) kedua di Austria.
GP Turki disenaraikan dalam kalendar dan dijadual berlangsung 11 ke 13 Jun, bagi menggantikan GP Kanada yang dibatalkan susulan larangan perjalanan dilaksanakan negara itu.
"Kita semua tidak sabar menunggu perlumbaan di Turki tetapi dengan adanya larangan perjalanan, kita tak akan boleh berada di sana pada Jun nanti," kata ketua eksekutif Formula One, Stefano Domenicali pada Jumaat.
"Formula Satu telah membuktikan sekali lagi yang ia mampu bertindak balas dengan cepat terhadap perkembangan semasa dan mencari penyelesaian," tambahnya.
Turki tiada pilihan lain, selepas ia diletakkan dalam senarai merah perjalanan negara-negara berisiko United Kingdom (UK).
Tujuh daripada 10 pasukan F1 berpangkalan di UK.
Pembatalan ini bermakna, tiada perlumbaan berlangsung selama tiga minggu berturut-turut.
#F1 #Turki #sukan #Grand Prix #senarai merah #perjalanan #negara berisiko #United Kingdom #GP Turki #GP Kanada #Formula One #Formula 1 #perlumbaan #kalendar #larangan perjalanan #Stefano Domenicali
;