F1 GP Belgium: Catat kemenangan bergaya, Verstappen anggap hari luar biasa
Astro Arena
Ogos 29, 2022 12:13 MYT
Ogos 29, 2022 12:13 MYT
MAX Verstappen menganggap ia hujung minggu paling luar biasa selepas dia memenangi perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Belgium dengan penuh bergaya malam tadi, sekali gus melebarkan penguasaannya dalam carta keseluruhan kategori pemandu.
Pemandu pasukan Red Bull itu memulakan perlumbaan di petak ke-14 berikutan dikenakan penalti gara-gara menukar unit kuasa di jenteranya tetapi pemanduan luar biasa yang dipamerkannya menyaksikan dia memenangi perlumbaan di litar Spa-Francorchamps itu buat kali kedua berturut-turut.
Perlumbaan mencabar itu menyaksikan kereta keselamatan dimasukkan seawal pusingan kedua dan Verstappen memanfaatkan keadaan berkenaan untuk memastikan kemenangan satu-dua buat Red Bull bersama Sergio Perez, yang turut memanfaatkan jentera berkelajuan tinggi pasukan berkenaan.
Kemenangan bergaya itu juga menyaksikan Verstappen kini berkelebihan 93 mata di depan rakan sepasukannya, Perez, yang menduduki tangga kedua kategori pemandu.
Pemandu Belanda berkenaan jelas berasa gembira dengan prestasinya dalam perlumbaan itu dan dia berkata kepada Sky Sports: "Ia sesuatu yang amat luar biasa hujung minggu ini.
"Kami amat kompetitif sejak awal perlumbaan. Saya tahu kami akan memperoleh keputusan yang baik.
"Memenangi perlumbaan dari P14, walaupun dengan kereta itu, ia sentiasa sesuatu yang sukar kerana anda secara amnya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi nasib baik saya tidak terlibat dengan kecelakaan walaupun banyak perkara seperti itu sedang berlaku.
"Saya sebenarnya hanya mengelak daripada segala-galanya dan apabila keadaan kembali tenang dengan kemasukan kereta keselamatan, saya hanya memintas setiap jentera dalam setiap pusingan.
"Apabila menyedari kami sudah berada di P3 walaupun menggunakan tayar lebut, kami amat laju dan saya sedar saya mempunyai peluang yang baik untuk memenangi perlumbaan ini," katanya.