F1 GP Australia: Tuah musim baharu untuk Bottas?
Ian Johan Ariff
Mac 17, 2019 20:13 MYT
Mac 17, 2019 20:13 MYT
VALTERRI Bottas tidak pernah memenangi sebarang perlumbaan Formula One musim lepas dan sentiasa dibayangi rakan sepasukannya dari Mercedes, Lewis Hamilton.
Namun dalam perlumbaan pembukaan musim baharu ini, Bottas muncul juara di Grand Prix Australia, mengatasi Hamilton yang merupakan juara dunia lima kali F1.
Pelumba dari Finland itu bermula pada petak kedua perlumbaan di belakang Hamilton, berjaya memintas pelumba Britain itu pada selekoh pertama dan tidak menoleh ke belakang lagi.
Bottas mendahului sepanjang perlumbaan untuk memastikan dominasi pasukan Mercedes AMG Petronas, yang merupakan juara dua tahun berturut-turut F1.
Kejayaan Bottas dikatakan didorong daripada usahanya untuk menyelami jiwa sendiri sepanjang musim rehat F1, dengan melibatkan diri dalam beberapa perlumbaan rali dan sesi santai bersama rakan-rakannya.
Bottas mengatasi Hamilton dengan 20.886 saat, dengan catatan masa 1 jam 25 minit 27.325 saat dalam perlumbaan 58 pusingan itu.
Ia merupakan gelaran GP yang keempat dimenangi Bottas dan yang pertama sejak 2017.
Max Verstappen dari pasukan Red Bull mendapat tempat ketiga manakala Sebastian Vettel dari Ferrari menamatkan perlumbaan di tempat keempat, walaupun muncul jentera terpantas semasa peringkat ujian.
#F1
#Finland
#Formula One
#GP Australia
#Lewis Hamilton
#Max Verstappen
#Mercedes
#Red Bull
#Sebastian Vettel
#Valterri Bottas