F1: Alonso puji Verstappen sebagai pemandu terbaik selepas Schumacher
Astro Arena
Oktober 6, 2023 11:10 MYT
Oktober 6, 2023 11:10 MYT
FERNANDO Alonso menggelar Max Verstappen sebagai pemandu terbaik Formula Satu selepas Michael Schumacher -- dengan pemandu berbangsa Belanda itu bakal merangkul takhta kejuaraan dunia ketiganya.
Verstappen yang berusia 26 tahun itu hanya perlu mengumpul tiga mata dalam perlumbaan pecut Sabtu ini di Qatar bagi melengkapkan hatrik gelaran dunia.
Lewis Hamilton juga pernah memenangi rekod 103 perlumbaan dan memegang tujuh gelaran dunia bersama Schumacher.
Tetapi Alonso, 42 tahun, mengetepikan pemandu Britain itu apabila ditanya sama ada Verstappen kini perlu dibandingkan sebaris bersama pemandu hebat zaman moden itu.
"Saya hanya pernah memandu bersama Michael, mungkin boleh dibandingkan bersama Michael," kata juara dunia berganda itu.
"Dalam masa beberapa tahun akan datang, dia akan terus menambah gelaran kejuaraan, jadi saya hanya akan membandingnya dengan Michael."
Susulan kekalahan Red Bull di Singapura, Verstappen kini kembali ke prestasi terbaiknya pada pusingan terakhir di Jepun bagi meraih kemenangan ke-13 daripada 16 perlumbaan yang diadakan setakat ini.
Sejak Verstappen merangkul gelaran sulungnya selepas menewaskan Hamilton dalam perlumbaan di Abu Dhabi yang penuh kontroversi pada 2021, dia telah memenangi 28 daripada 38 perlumbaan yang ditaruhkan - termasuk rekod 10 kemenangan berturut-turut awal tahun ini.
Hamilton yang kini berada pada kedudukan ketiga dalam kejuaran bersama jentera Mercedesnya dan 210 mata di belakang Verstappen, berkata: "Saya tidak akan meletakkan dia di mana-mana kedudukan kerana itu adalah berasaskan pendapat.
"Tetapi jika dilihat, dia telah memperoleh kedudukan terbaiknya, dan dia juga telah menunjukkan prestasi yang menakjubkan dengan pakej bakat yang dia ada. Verstappen dan pasukannya adalah suatu fenomena untuk tahun ini.
"Mereka telah meningkatkan standard di antara kami dan sebagai satu pasukan, kami perlu melihat perkara yang boleh diperbaiki supaya menjadi lebih baik dan boleh menyaingi mereka.
"Saya berharap pada satu perlumbaan nanti, kami boleh berikan tentangan sengit dan pastikan mereka bertahan, tetapi mereka harus menikmati saat itu kerana itu antara apa yang mereka telah usahakan."