F:30 dilancar tepat pada masa - Cheng Hoe
Astro Arena
November 1, 2018 06:45 MYT
November 1, 2018 06:45 MYT
PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menganggap langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan pelan tindakan F:30 sebagai tepat pada masanya dalam usaha terus meningkatkan mutu bola sepak tanah air.
FAM pada Rabu melancarkan pelan tindakan F:30 dengan sasaran untuk menjadi antara lima persatuan terbaik di rantau Asia.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menyatakan tunjang utama pelan itu adalah pengenalan kepada DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum latihan yang seragam serta pembangunan peringkat akar umbi yang kukuh.
Lantas, matlamat awal ialah untuk skuad kebangsaan melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia pada 2023.
"F:30 adalah perancangan jangka masa panjang yang positif untuk bola sepak Malaysia," kata Cheng Hoe.
Sementara itu, Cheng Hoe juga berpandangan pelan tindakan itu dapat membantu jurulatih tempatan supaya terus meningkatkan kemampuan masing-masing bagi membantu melaksanakan sasaran yang ditetapkan oleh FAM.
"Kami memerlukan perkembangan daripada sistem kejurulatihan dalam setiap peringkat," kata Cheng Hoe.
Sesi latihan skuad kebangsaan kembali diadakan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai selepas beberapa hari menjalani latihan di Bangi sebelum ini.
Berbaki dua hari lagi menjelang aksi persahabatan menentang Maldives, hanya Akhyar Rashid masih menjalani latihan ringan untuk meningkatkan lagi tahap kecergasannya.
#Asia
#bola sepak
#F 30
#FAM
#Hamidin Mohd Amin
#jurulatih
#Pelan Tindakan
#Persatuan Bolasepak Malaysia
#Tan Cheng Hoe