Evolusi Spurs di bawah Conte baru bermula
Astro Arena
November 22, 2021 06:26 MYT
November 22, 2021 06:26 MYT
TOTTENHAM Hotspur dicemuh peminat dalam separuh masa pertama, namun dihadiahkan sorakan gembira pada penghujung perlawanan.
Antonio Conte berjaya meraih kemenangan pertamanya sebagai pengurus Spurs dalam Liga Perdana Inggeris sewaktu mereka menewaskan Leeds United 2-1, Ahad.
Keadaan Tottenham pada penghujung separuh masa pertama kelihatan begitu mengecewakan, di mana mereka sama sekali gagal menguasai perlawanan.
Namun, mereka kelihatan seperti sebuah pasukan yang sama sekali berbeza dalam separuh masa kedua dan akhirnya Leeds gagal untuk mengekang mereka.
Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga ketujuh liga dan hanya empat mata terpisah daripada kelompok empat pasukan teratas.
Ketibaan pengurus berbangsa Itali itu sememangnya bagaikan satu nafas baru yang cukup menyegarkan.
Dalam tiga perlawanannya mengendalikan Spurs setakat ini, mereka menewaskan Vitesse 3-2 dalam Liga Konfederasi Eropah, seri dengan Everton dan akhirnya meraih kemenangan yang didambakan.
Seperti yang diramalkan, Conte sama sekali tidak menaruh belas kasihan terhadap pemain yang dilatihnya dan memastikan sesi latihan dipenuhi dengan aktiviti lasak yang memerlukan tahap kecergasan tertinggi.
Menurut laporan laman sesawang BBC.com, bek Tottenham, Sergio Reguilon, mengatakan bahawa sesi latihan bersama Conte adalah minggu paling mengerikan sepanjang hidupnya.
Namun, hasil daripada latihan tersebut, Reguilon berjaya menjadi pemain yang menjaringkan gol kemenangan sewaktu menentang Leeds.
"Saya cukup gembira sekarang. Gol itu adalah gol pertama saya dalam Liga Perdana Inggeris, kami berjaya meraih tiga mata dan pasukan kami sudah banyak berkembang maju.
"Conte berpesan kepada saya, sewaktu kami menyerang, saya harus mempunyai mentaliti seorang penyerang, itu yang dia mahukan. Saya cukup letih sekarang, tetapi saya teramat gembira," ujar Reguilon.
Sebelum ketibaan Conte, Spurs kelihatan cukup sukar untuk melakukan sebarang percubaan ke arah pintu gol lawan sepanjang beberapa perlawanan.
Kemarau itu berterusan sewaktu separuh masa pertama menentang Leeds, tetapi pada penghujungnya, mereka mencatatkan empat percubaan tepat, menjaringkan dua gol dan ada dua percubaan yang terkena tiang gol.
Dalam temu bual pasca perlawanan, Conte menunjukkan reaksi penuh bersemangat.
"Kami akan terus berjuang untuk memperbaiki kedudukan kami dan memanjat tangga liga. Saya akui, jurang di antara kami dengan pasukan empat teratas agak jauh.
"Tapi, saya tidak gentar, begitu juga dengan pemain-pemain saya. Saya percayakan mereka sepenuhnya.
"Kami akan terus berusaha dan menyasarkan tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan," ujar Conte dengan tegas.
Dalam temu bual bersama akhbar Itali, Gazzetto dello Sport, minggu lalu, Conte memberikan sedikit pencerahan tentang keputusannya untuk menerima jawatan sebagai pengurus Spurs.
"Sewaktu presiden kelab, Daniel Levy, bertanyakan tentang saya pada bulan Jun tahun ini, saya masih belum bersedia.
"Tempoh dua tahun yang saya luangkan bersama Inter sebelum ini bagaikan satu racun yang masih belum saya bersihkan daripada tubuh saya. Saya keletihan dan masih memerlukan rehat.
"Tetapi apabila Levy kembali bertanyakan sekali lagi dan berkata yang dia mahukan khidmat saya tidak kira apa pun, saya mula bersemangat kembali.
"Levy menunjukkan saya keinginannya untuk memajukan kelab ini dan segala kemudahan yang telah dia sediakan demi mencapai kemajuan ini.
"Stadium Tottenham Hotspur begitu megah, pusat latihan sukan Spurs juga adalah yang terbaik pernah saya lihat. Bagi saya, usaha sebegini haruslah dibayar dengan keputusan kemenangan.
"Saya sedar akan cabaran getir yang menanti, namun semangat yang membara sepenuhnya dan sekarang ini saya ada tugasan besar yang harus disempurnakan."
Kita nantikan bagaimana evolusi Spurs di bawah pimpinan Conte dalam perlawanan-perlawanan mendatang.