Everton pecat Allardyce

Astro Arena
Mei 16, 2018 07:28 MYT
Allardyce menyuarakan kemarahannya kerana tidak dimaklumkan mengenai keputusan tersebut. - REUTERS / Fail
EVERTON telah meleraikan ikatannya dengan Sam Allardyce walaupun bekas pengurus England itu mempunyai baki kontrak setahun lagi di Goodison Park.
Allardyce dilantik sebagai pengganti kepada Ronald Koeman menerusi perjanjian 18 bulan yang dibuat November lalu bagi membimbing Everton menjauhkan diri daripada bahaya zon penyingkiran.
Walaupun ia dapat dicapai, kelab Merseyside itu tetap tidak berpuas hati dengan gaya bola sepak yang dianggap negatif di bawah bekas bos England berusia 63 tahun itu.
Walaupun membawa Everton ke tempat kelapan, ramalan pemergian Allardyce disahkan pada Rabu.
Pembantu Ketua Eksekutif Everton, Denise Barrett-Baxendale, berkata: "Bagi pihak pengerusi, lembaga pengarah dan pemilik (Everton) Moshiri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sam di atas tugas yang telah dilakukannya di Everton dalam tempoh tujuh bulan lalu.
"Sam dibawa masuk pada masa yang mencabar musim lalu bagi memberikan kestabilan kepada kami dan kami berterima kasih kepadanya kerana melakukannya.
"Bagaimanapun, kami telah membuat keputusan sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang kami. Kami akan melantik seorang pengurus baru musim panas ini dan akan memulakan proses dengan segera.
"Sekali lagi, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sam kerana bekerja dengan kami sejak beberapa bulan lalu dan berharap kebaikan untuk masa depannya."
Everton mengumumkan penstrukturan semula lembaga pengarah pada Selasa, termasuk pelantikan Barrett-Baxendale bagi menggantikan Robert Elstone.
Bercakap kepada Mirror dalam Anugerah Tahunan Persatuan Pengurus-Pengurus Liga, Allardyce menyuarakan kemarahannya kerana tidak dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
"Saya terkejut, kecewa dan jelik bahawa kelab bola sepak ini tidak mempunyai adab untuk memberitahu saya, pengarah bola sepak dan kakitangan saya tentang perubahan tersebut," katanya.
"Mereka mesti berada dalam perancangan untuk tempoh agak lama tetapi tidak berfikir untuk memberitahu saya dan kakitangan saya. Saya sangat jelik.
"Saya masuk ke dalam kelab ketika pasukan sedang bergelut dan kami telah menduduki tempat kelapan dalam liga. Saya lebih gembira dengan pencapaian saya, kakitangan saya dan pencapaian pemain sejak saya masuk.
"Saya akan berjumpa Farhad hari ini untuk membincangkan apa yang berlaku tetapi saya tidak menjangkakan pertemuan itu akan berlangsung lama," katanya.
#bola sepak #Denise Barrett-Baxendale #England #Everton #kontrak #pelan jangka panjang #pengurus #Ronald Koeman #Sam Allardyce
;