Euro 2024: Siapa pilihan? 'Gergasi' mana bergelut? Siapa pula 'dark horse'
Syukri Shaari
Jun 14, 2024 20:16 MYT
Jun 14, 2024 20:16 MYT
PERANCIS, Jerman, England pasukan pilihan.
Sepanyol, Portugal, Belanda dan (mungkin) Belgium jadi 'dark horse'.
Itali gagal pertahan kejuaraan.
Croatia bakal tersingkir awal.
Ini antara jangkaan banyak pemerhati bola sepak menjelang sepak mula Kejohanan Euro 2024 di bumi Jerman awal pagi esok (waktu Malaysia).
Perancis jadi pilihan utama kerana profil skuad yang dipenuhi pemain bintang.
Daripada Kylian Mbappe, Antoine Griezmann, Eduardo Camavinga, Willian Saliba, Theo Hernandez dan Mike Maignan, Perancis mempunyai skuad yang 'lumayan' pada setiap kejohanan.
Ditambah pula skuad Les Bleus dikendalikan legenda mereka, Didier Deschamp, ramuannya cukup untuk diangkat sebagai pemenang sebelum kejohanan bermula.
Jerman pula sebagai tuan rumah. Kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan sokongan ultras sejati mereka, semangat melawan dan mahu menang pastinya luar biasa.
Bukan itu sahaja, skuad Jerman juga bukan calang-calang.
Serangan dipacu penyerang Arsenal, Kai Havertz; dibantu barisan midfield yang disifatkan sebagai 'mewah', Toni Kross, Ilkay Gundogan, Jamal Musiala, Leroy Sane dan Florian Writz.
Disokong pertahanan kental, Antonio Rudiger, Nico Schlotterbeck dan Jonathan Tah yang memberi perlindungan kepada Manuel Neuer. Jerman bukan biasa-biasa.
Dan England... sentiasa menjadi pasukan pilihan setiap kejohanan, tetapi gagal julang trofi.
Kali ini, dengan pasukan bertaraf bintang dunia meliputi Harry Kane, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Phil Foden, Cole Palmer, Declan Rice, John Stones, mungkin boleh, diulang berkemungkinan (sahaja) boleh menang.
Apatah lagi tanpa kelibat bekas kapten, Harry Maguire di bahagian pertahanan. Peluang itu sedikit meningkat. 'It's coming home' kata peminat mereka setiap kali kejohanan.
Portugal, Sepanyol, Belanda tidak syak lagi sebagai pasukan 'dark horse'.
Portugal dipimpin legenda mereka Cristiano Ronaldo (penampilan di enam edisi Euro), dengan gandingan pemain berpengalaman serta barisan pemain muda meningkat naik, mampu sekali lagi mencipta kejutan seperti edisi 2016.
Sepanyol, selepas era generasi emas mereka yang mendominasi bolas epak dunia dari 2008 hingga 2012, kini dalam proses penstrukturan semula skuad menerusi pemain-pemain muda berkemahiran tinggi seperti Lamine Yamal, Pedri, Fermin Lopez dan Nico Williams. Wajar diberikan perhatian.
Belanda yang sentiasa menjadi 'dark horse' kejohanan, mungkin mampu mencipta sesuatu edisi kali ini.
Dipimpin pertahanan kental Liverpool, Virgil van Dijk; disokong Nathen Ake, Matthijs de Ligt, Stefan de Vrij, Jeremie Frimpong, Denzel Dumfries, Ian Maatsen, Belanda hadir ke kejohanan dengan pasukan yang (mungkin) mempunyai pertahanan paling ampuh.
Dalam bola sepak, kuat pertahanan, kuatlah pasukan.
Belgium, dalam beberapa edisi kejohanan utama dunia sejak beberapa tahun kenelakangan ini, antara pasukan digeruni.
Manakan tidak, ada Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Leandro Trossard. Tetapi sering kali gagal mencapai apa yang diharapkan.
Biarpun pemain-pemain disenaraikan tidak sehebat edisi sebelum ini, namun Belgium tetap dilihat mampu mencipta kejutan.
Itali, juara bertahan pula dijangka bergelut. Dengan skuad yang 'tidak seberapa' jika dibanding dengan kejohanan sebelum ini, Itali sebenarnya dalam pembikinan semula.
Tidak tahu mahu bermula dari mana dengan skuad bimbingan Luciano Spaletti ini, namun Itali membariskan pemain berpengalaman, tahu bagaimana mahu menang kejohanan.
Mampu mara sehingga ke suku akhir sudah dianggap satu kejayaan bagi skuad yang gagal ke dua edisi Piala Dunia sebelum ini.
Croatia, yang menikmati tahun-tahun cemerlang di peringkat antarabangsa dalam enam tahun kebelakangan ini, dilihat bakal bergelut.
Mengapa? Era generasi emas mereka sudah berakhir.
Kapten dan perancang utama mereka, Luka Modric semakin dimamah usia, tidak setajam dulu. Biarpun ada pemain seperti Mateo Kovacic, Marcelo Brozovic, Mario Pasalic, Lovro Majer, namun ia dilihat belum mampu mengulangi kecemerlangan dikecapi beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini antara analisis awal, bukan bermaksud pasukan lain seperti Switzerland, Albania, Scotland, Hungary tidak penting (kita semua tahu apa berlaku pada edisi 2004 apabila pasukan bukan pilihan, Greece muncul juara), tetapi pasukan yang ditumpukan di atas lebih dominan dalam kejohanan.
Edisi kali ini mungkin yang terakhir bagi beberapa nama besar seperti Ronaldo, Kross, Modric, Olivier Giroud, Jorginho, Dani Carvajal, Robert Lewandowski, Kevin de Bruyne beraksi di pentas Euro.
Jadi nikmatilah!