Euro 2024: Sembilan pegawai cedera dalam pergaduhan sebelum perlawanan Denmark-Serbia
Bernama
Jun 26, 2024 22:00 MYT
Jun 26, 2024 22:00 MYT
MUNICH: Sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk sembilan pegawai polis, cedera ringan dalam pergaduhan dengan penyokong Serbia di tengah Munich sebelum perlawanan peringkat kumpulan Euro 2024 antara Denmark dan Serbia, kata polis awal Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seorang petugas stadium juga cedera dalam insiden berasingan.
Denmark seri 0-0 dengan Serbia lewat Selasa, menyebabkan Serbia tersingkir dari kejohanan dan Denmark menduduki tempat kedua dalam Kumpulan C, diikuti Slovenia yang berada di tempat ketiga.
Menurut polis, pegawai memeriksa seorang penyokong di dataran Marienplatz Munich kerana disyaki menyalakan bunga api pada 5 petang Selasa, dengan lebih 5,000 penyokong Serbia berkumpul di dataran berkenaan pada ketika itu.
Pemeriksaan itu mencetuskan "kesan solidariti" dengan orang ramai membaling botol dan kerusi ke arah pegawai, menyebabkan polis bertindak balas menggunakan penyembur lada dan belantan.
Seorang jurucakap tidak dapat mengesahkan pada pagi Rabu sama ada terdapat penyokong yang cedera dalam pergaduhan itu.
Selain itu, penyokong juga secara haram menyalakan bunga api berhampiran stesen bawah tanah Marienplatz dan di dalam stadium bola sepak, menurut polis.
Petugas cedera semasa cuba menghalang seorang penyokong daripada menyerbu padang, menurut kenyataan itu.
Beberapa orang didakwa melakukan kesalahan termasuk mengganggu ketenteraman awam, mencederakan orang lain dengan sengaja dan menyerang pegawai polis. Tujuh orang ditahan dan akan dibawa ke hadapan hakim penyiasat pada Rabu.
Menurut polis, sekitar 15,000 penonton memenuhi zon peminat di dalam Olympiapark Munich sebelum dan semasa perlawanan dengan sekitar 2,000 pegawai dikerahkan.
-- BERNAMA