EURO 2024: Polis Jerman lega Turkiye tersingkir

Astro Arena
Julai 8, 2024 12:30 MYT
Kehadiran ramai penyokong Turkiye di Dortmund melahirkan kebimbangan kemungkinan pertembungan England bertemu Turki akan mengakibatkan masalah kepada orang ramai. - Foto Stadium Astro
POLIS di Jerman menarik nafas lega selepas Belanda bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Turkiye dan menetapkan aksi separuh akhir menentang England di Dortmund awal pagi Khamis.
Kehadiran ramai penyokong Turkiye di Dortmund melahirkan kebimbangan kemungkinan pertembungan England bertemu Turkiye akan mengakibatkan masalah kepada orang ramai, melihat kepada sejarah antara kedua-dua negara itu.
Penyokong The Three Lions yang hadir ke Jerman adalah termasuk sejumlah besar penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds.
Pada tahun 2000 dua penyokong Leeds ditikam hingga mati di Istanbul sebelum perlawanan separuh akhir Piala UEFA menentang Galatasaray.
Ini meningkatkan lagi kebimbangan pihak polis mengenai aspek keselamatan di bandar itu.
Sebelum ini, dalam aksi suku akhir menentang Belanda, Samat Akaydin membuka jaringan buat Turkiye pada minit ke-35 sebelum Stefan De Vrij menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Malang terus menimpa Turkiye apabila jaringan sendiri Mert Muldur pada minit ke-76 menghantar Belanda ke separuh akhir bertemu England.
*Artikel disiarkan di Stadium Astro
#Euro 2024 #polis jerman #Turkiye tersingkir #Belanda ke separuh akhir #Leeds #Galatasaray
;