Euro 2024: Perancis tewaskan Belgium untuk mara ke suku akhir

Bernama
Julai 2, 2024 12:45 MYT
Perancis akan berdepan Portugal dalam perlawanan suku akhir di Hamburg pada Jumaat. - Gambar/ Reuters
BERLIN: Perancis mengesahkan slot ke suku akhir selepas memanfaatkan gol sendiri Jan Vertonghen dalam kemenangan 1-0 ke atas Belgium pada pusingan 16 Euro 2024 di Merkur Spiel-Arena, Dusseldorf pada Isnin.
Pasukan Perancis dilihat menguasai perlawanan sejak awal permainan, sementara Belgium cuba bertahan menunggu peluang serangan balas.
Penjaga gol Perancis, Mike Maignan berjaya menepis sepakan percuma Kevin De Bruyne pada minit ke-24, dan Marcus Thuram menanduk keluar hantaran berbahaya Jules Kounde pada minit ke-30.
Perancis meningkatkan tekanan sebelum rehat tetapi gagal membuka jaringan.
Percubaan jarak jauh Aurelien Tchouameni nyaris terkena sasaran, dan dia juga mensia-siakan peluang hasil hantaran kemas Kylian Mbappe berhampiran kawasan penalti.
The Red Devils kekal berbahaya dengan serangan balas, namun Theo Hernandez berjaya mematahkan percubaan Yannick Carrasco yang hanya berdepan Maignan pada minit ke-60.
Belgium terus mengasak dan mencipta lebih banyak peluang, apabila Maignan terpaksa menepis sepakan Romelu Lukaku dan percubaan De Bruyne beberapa saat kemudian.
Namun, Les Bleus akhirnya memperoleh gol kemenangan. N'Golo Kante berjaya melepasi pertahanan Belgium sebelum menghantar bola kepada Randal Kolo Muani, yang menyebabkan bola terkena Vertonghen dan masuk ke gawang pada minit ke-85.
Dengan keputusan ini, Perancis akan berdepan Portugal dalam perlawanan suku akhir di Hamburg pada Jumaat.
-- BERNAMA
#Euro 2024 #Belgium #Perancis #suku akhir
;