EURO 2024: Perancis pertahan tindakan Kylian Mbappe tidak habiskan permainan
Astro Arena
Julai 6, 2024 12:32 MYT
Julai 6, 2024 12:32 MYT
KETUA jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata adalah menjadi satu tindakan yang sia-sia untuk membiarkan Kylian Mbappe yang tampak keletihan untuk 15 minit terakhir masa tambahan ketika bertemu Portugal.
Mbappe dikeluarkan ketika rehat masa tambahan 30 minit di Hamburg awal pagi tadi dengan kedudukan terikat 0-0.
Ia kekal begitu 15 minit kemudian yang menyaksikan Portugal melepaskan dua peluang keemasan berikutan ketumpulan penyudah Joao Felix dan Nuno Mendes.
Perancis akhirnya melepasi ranjau itu menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti 5-3 selepas percubaan Joao Felix terkena tiang.
Mbappe sempat melancarkan lima percubaan tetapi Deschamps percaya adalah satu tindakan yang kurang bijak untuk menangguhkan pertukaran pemain membabitkan bintang berusia 25 tahun itu.
Deschamps berkata: "Dia jelas sekali kepenatan. Terutama bahagian ototnya kerana ia bukan mudah atas segala yang terpaksa ditanggungnya.
“Saya lihat dia bergelut dalam babak pertama masa tambahan. Jadi tiada gunanya lagi dia meneruskan permainan.
"Kylian sentiasa jujur dengan saya dan kumpulan, jadi adalah wajar untuk membawa masuk muka baharu."
*Artikel disiarkan di Stadium Astro