EURO 2024: Kylian Mbappe akui gagal selepas Sepanyol sekat Perancis ke final

Astro Arena
Julai 10, 2024 10:00 MYT
Mbappe mengakui bahawa dirinya gagal selepas Perancis terkandas dalam separuh akhir Euro 2024 dengan kekalahan 1-2 di tangan Sepanyol di Munich awal pagi tadi.
KYLIAN Mbappe mengakui bahawa dirinya gagal selepas Perancis terkandas dalam separuh akhir Euro 2024 dengan kekalahan 1-2 di tangan Sepanyol di Munich awal pagi tadi.
Perancis jelas bergelut untuk menggalas reputasi selaku pasukan pilihan utama sebelum kejohanan di Jerman itu tetapi masih mampu untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Randal Kolo Muani memberikan mereka jaringan pendahuluan, yang merupakan gol padang pertama Les Bleus sepanjang kejohanan itu - tanpa mengira jaringan sendiri - tetapi Lamine Yamal dan Dani Olmo kemudian menemui sasaran untuk menterbalikkan nasib kedua-dua pasukan berkenaan.
Yamal turut mencipta sejarah selaku penjaring gol termuda sepanjang penganjuran kejohanan itu.
Perancis gagal mencari gol penyamaan sepanjang separuh masa kedua, sekali gus tewas dalam aksi separuh akhir kejohanan utama buat kali pertama sejak 1996, dengan Mbappe mensia-siakan peluang paling berharga menuju ke penghujung permainan.
Bercakap kepada wartawan selepas kekalahan itu, Mbappe berkata: "Mereka memiliki permainan yang lebih baik bebanding kami.
"Kami dibolosi dua gol pantas dan dalam babak kedua, kami memiliki peluang tetapi tidak dimanfaatkan.
"Kami gagal dalam kejohanan ini. Saya mahu kami menjadi juara Eropah tetapi kami gagal. Itulah bola sepak," katanya. - Stadium Astro
#Euro 2024 #Kylian Mbappe #Mbappe gagal #Sepanyol ke final
;