EURO 2024: Jude Bellingham berdepan siasatan UEFA ejek penyokong Slovakia
Astro Arena
Julai 2, 2024 12:20 MYT
Julai 2, 2024 12:20 MYT
JUDE Bellingham berdepan hukuman Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang sedang menyiasat kelakuannya ketika meraikan kemenangan dramatik masa tambahan England ke atas Slovakia dalam EURO 2024 semalam.
Namun, pemain tengah itu menegaskan bahawa dia tidak bermaksud menunjukkan isyarat itu kepada penyokong Slovakia, sebaliknya sebagai simbolik gurauan dengan kenalannya yang berada di bangku peminat.
Bellingham menjaringkan sepakan gunting yang menakjubkan lima minit sebelum masa kecederaan ketika England bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Slovakia dalam pusingan 16, manakala kemenangan mereka dimuktamadkan menerusi jaringan Harry Kane yang menanduk masuk jaringan kemenangan pada masa tambahan.
Pemain tengah Real Madrid itu dilihat mencium tangannya dan mencengkam kelangkangnya selepas wisel sepenuh masa dibunyikan.
Beberapa pihak mentafsirkan isyarat itu sebagai penghinaan terhadap penyokong dan bangku simpanan Slovakia.
Bellingham kemudian menggunakan media sosial untuk menafikan dakwaan itu dengan menulis di X:
"Gerak isyarat itu merupakaan satu jenaka dalaman terhadap beberapa rakan rapat saya yang menghadiri perlawanan.
"Tiada sebab tersembunyi dan saya amat menghormati corak permainan Slovakia."
Walaupun Bellingham cuba menjelaskan kejadian itu, UEFA mengesahkan mereka akan menyiasat kelakuan tersebut. - Stadium Astro