Euro 2024: Gol tunggal Jude Bellingham pastikan England dahului Kumpulan C atasi Serbia

Agensi
Jun 16, 2024 05:15 MYT
Jude Bellingham, menjadi penjaring tunggal memastikan England menewaskan Serbia 1-0 dalam aksi Kumpulan C, Euro 2024 di Veltins Arena sebentar tadi.
BINTANG Real Madrid, Jude Bellingham, menjadi penjaring tunggal memastikan England menewaskan Serbia 1-0 dalam aksi Kumpulan C, Euro 2024 di Veltins Arena sebentar tadi.
Pemain berusia 20 tahun itu bijak menghidu lambungan lintang Bukayo Saka untuk menanduk masuk gol pembukaan England pada minit ke-13.
Sebagai rekod, ia merupakan gol keempat Bellingham bersama skuad senior The Three Lions.
Serbia tampil dengan permainan lebih fizikal dan bertekanan tinggi dalam babak kedua tetapi ketumpulan di depan gawang jelas menghantui mereka.
Sebaliknya, England berpeluang untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-77, di mana lintangan yang dilakukan Jarrod Bowen ditanduk ke arah palang gol oleh ketua pasukan, Harry Kane.
Dusan Vlahovic hampir memecahkan kebuntuan Serbia pada minit ke-82 dengan percubaan voli jarak jauhnya tetapi penjaga gol England, Jordan Pickford, bertindak tangkas menepis keluar percubaan itu.
Dengan kemenangan itu, The Three Lions kini mendahului carta Kumpulan C selepas Denmark dan Slovenia terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan. - Stadium Astro
#Euro 2024 #Jude Bellingham #Bukayo Saka #The Three Lions
;