EURO 2024: Deschamps tak gusar prestasi hambar Mbappe

Sinar Harian
Julai 8, 2024 12:00 MYT
Mbappe hanya menjaringkan satu gol dalam kejohanan itu iaitu penalti dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Poland. - Gambar/ Reuters
PENGENDALI Perancis Didier Deschamps tampil mempertahankan kapten dan pemain bintangnya, Kylian Mbappe selepas kritikan dilemparkan terhadap persembahan penyerang itu di Euro 2024.
Mbappe hanya menjaringkan satu gol dalam kejohanan itu iaitu penalti dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Poland.
Deschamps mengingatkan mereka yang mengkritik Mbappe tentang pencapaian yang telah dilakukan pemain itu dalam bola sepak.
"Tidakkah anda lihat dia telah mencipta sejarah yang mencukupi berdasarkan apa yang telah dia lakukan selama ini? Dia mahu mencipta lebih banyak sejarah.
"Kami melakukan segala yang kami mampu bersamanya, dengan kakitangan perubatan untuk membawanya ke sini. Sebelum Euro, dia juga mengalami sedikit masalah belakang, tetapi Kylian tetap berada di sini," katanya.
Deschamps juga menjawab cadangan kemungkinan Mbappe seharusnya direhatkan bagai membolehkan jentera serangan pasukan lebih tajam ketika menghadapi Seapnyol dalam aksi separuh akhir.
Penyerang itu terpaksa untuk bermain sebahagian besar kejohanan sambil memakai topeng selepas mengalami kecederaan hidung susulan perlanggaran dengan Kevin Danso dalam perlawanan kumpulan pembukaan pasukannya menentang Austria.
“Walaupun dia tidak 100 peratus berada pada tahap terbaik, saya tahu bahawa lawan tetap akan fokus kepadanya dalam perlawanan," katanya.
Mbappe yang menjaringkan hatrik pada final Piala Dunia 2022 pasukannya dan gol keempat dalam kemenangan mereka pada final Piala Dunia 2018 juga mendapat sokongan rakan sepasukan.
"Kylian merupakan pemain yang menjaringkan tiga penalti dalam perlawanan akhir Piala Dunia. Saya tidak tahu ramai pemain yang telah mencapai kejayaan ini.
"Sama ada dia atau pemain seperti Antoine (Griezmann) yang merupakan naib kapten, mereka telah melakukan perkara yang kebanyakan pemain dalam bilik persalinan tidak lakukan. Apabila mereka bercakap, kami mendengar," katanya. - Sinar Harian
#Euro 2024 #Perancis #Kylian Mbappe #prestasi
;