EURO 2024: Bukayo Saka pacu England mara ke separuh akhir

Astro Arena
Julai 6, 2024 06:30 MYT
Pemain England Bukayo Saka meraikan bersama Luke Shaw selepas menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan suku akhir EURO 2024 menentang Switzerland di Duesseldorf. - Foto AP
SWITZERLAND terpaksa akur selepas tewas 5-3 kepada England melalui sepakan penentuan penalti dalam perlawanan suku akhir selepas terikat 1-1 dalam saingan EURO 2024 di Arena Dusseldorf, awal pagi tadi.
Anak buah Gareth Southgate terikat tanpa jaringan dalam separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan itu tidak memperoleh sepakan tepat ke arah gawang masing-masing.
Jaringan awal dibuka terlebih dahulu oleh Switzerland pada minit ke-75 menerusi Breel Embolo yang mudah menolak masuk bola hantaran Rubén Vargas sekaligus menewaskan Jordan Pickford.
Lima minit kemudian, Bukayo Saka menjaringkan gol penyamaan buat England selepas menerima hantaran Declan Rice untuk mengikat kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua berakhir dengan keputusan 1-1 hingga wisel penamat untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.
Sepakan cantik Declan Rice hampir menggandakan jaringan buat England pada minit ke-93 tetapi Yan Sommer cemerlang menafikan percubaan itu.
Dalam pada itu, percubaan pemain gantian, Xherdan Shaqiri, daripada sepakan sudut hampir membawa Switzerland ke peringkat separuh akhir tetapi hanya sekadar menggegar gawang gol pasukan The Three Lions.
Perlawanan masa tambahan terikat 1-1 selepas kedua-dua pasukan tidak berjaya menambah jaringan dan membawa ke penentuan sepakan penalti.
Manuel Akanji menjadi satu-satunya pemain Switzerland yang tidak berjaya menajaringkan gol melalui sepakan penalti serta membawa England melakar kemenangan 5-3 dan mara ke peringkat seterusnya.
Dengan kemenangan itu, anak buah Gareth Southgate bakal berdepan cabaran Turkiye ataupun Belanda yang bakal berlangsung sebentar lagi. - Stadium Astro
#Euro 2024 #Switzerland #England #suku akhir
;