Euro 2020: Switzerland cipta kejutan singkir Perancis
Astro Arena
Jun 28, 2021 06:38 MYT
Jun 28, 2021 06:38 MYT
PERANCIS 3 SWITZERLAND 3 (Switzerland menang menerusi penentuan penalti 5-4)
Switzerland meranap segala jangkaan apabila menyingkirkan Perancis selepas bangkit merakamkan kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti dalam aksi pusingan 16 Euro 2020, sebentar tadi.
Menjelang perlawanan yang berlangsung di Bucharest, Hungary itu, ia seperti tertulis slot ke suku akhir memihak Perancis berdasarkan kualiti serta barisan pemain yang turun beraksi buat skuad kendalian Didier Deschamps itu.
Bagaimanapun, segalanya serba tidak menjadi buat pemenang Piala Dunia 2018 itu, apabila ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan Haris Seferovic pada minit ke-15.
Perancis akhirnya menemui rentak apabila Hugo Lloris menepis keluar sepakan penalti Ricardo Rodriguez yang meningkatkan semangat mereka apabila berjaya menyumbat dua jaringan pantas menerusi Karim Benzema pada minit ke-57 dan 59.
Ketika perlawanan berbaki 15 minit, giliran Paul Pogba merembat masuk gol daripada luar kotak penalti sekaligus menjadikan jalan Les Bleus terbentang luas untuk mara ke suku akhir.
Menjadikan kebangkitan Croatia mengheret Sepanyol ke masa tambahan sebagai inspirasi, Switzerland tidak putus asa dalam merencana serangan hingga berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-81 apabila Seferovic meledak gol kedua dalam perlawanan ini.
Leka dalam mengawal permainan, Switzerland berjaya merampas bola yang dikawal Perancis dan gerakan pantas Mario Gavranovic meledak gol penyamaan dalam masa kecederaan.
Perlawanan diheret hingga ke penentuan penalti, dan bintang Paris Saint-Germain (PSG) menjadi punca kekalahan Perancis apabila haluan percubaannya berjaya dibaca Yann Sommer sekali gus membawa Switzerland ke suku akhir buat pertama kali dalam tempoh 67 tahun.