Euro 2020: Sepakan penalti Sweden hukum Slovakia

Astro Arena
Jun 18, 2021 06:45 MYT
Slovakia menikmati lebih banyak penguasaan tetapi belum mampu mengatur serangan berbahaya. -Stadium Astro
SWEDEN melangkah lebih dekat ke pusingan 16 Euro 2020 menerusi kemenangan 1-0 ke atas Slovakia di St Petersburg, sebentar tadi.
Selepas menewaskan Poland dalam perlawanan pertama, Slovakia kendalian Stefan Tarkovic sedar satu lagi kemenangan akan memastikan tempat mereka dalam pusingan seterusnya sebelum perlawanan terakhir Kumpulan F itu dengan Sepanyol.
Tetapi Sweden menghasilkan lebih banyak ancaman secara tekal -- pastinya dibandingkan dengan prestasi seri tanpa gol dengan Sepanyol apabila hanya memiliki 15 peratus penguasaan permainan -- tatkala mereka berusaha mengelak keputusan tanpa jaringan keempat berturut-turut dalam Kejuaraan Eropah.
Alexander Isak muncul pemain paling berbahaya dan gerakan penyerang Real Sociedad itu membuka ruang buat Robin Quaison sebelum dikasari penjaga gol, Martin Dubravka, untuk Emil Forsberg mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti.
Kedua-dua pasukan gagal mempamerkan semangat juang tinggi untuk menang dalam babak pertama dengan satu-satunya rembatan tepat dihasilkan pada minit ketiga apabila percubaan Sebastian Larsson ditepis.
Slovakia menikmati lebih banyak penguasaan tetapi belum mampu mengatur serangan berbahaya sambil Sweden kelihatan lebih senang untuk menunggu peluang mereka.
Percubaan pertama Sweden hadir tepat sebelum sejam usia permainan apabila tandukan Ludwig Augustinsson yang berpunca daripada hantaran Larsson diselamatkan oleh Dubravka, manakala percubaan Marcus Danielson ketika menyambut sepakan penjuru pula meliar.
Isak akhirnya kembali menghidupkan ancaman mereka dalam 30 minit terakhir dengan melepaskan rembatan kaki kanan selepas membuat larian solo dari tepi kotak penalti untuk memaksa ketangkasan Dubravka.
Isak kemudian membuat satu sentuhan awal yang memerangkap Dubravka hingga menjatuhkan Quaison, sekali gus membolehkan Forsberg menyudahkan peluang dari jarak 12 ela itu.
Ia juga menamatkan penantian 365 minit Sweden untuk meledak gol dalam Euro selepas kali terakhir melakukannya ketika menentang Republik Ireland lima tahun yang lalu.
#Sweden #sepanyol #Euro 2020 #penalti #gol #Ireland #Slovakia #poland #Robin Quaison #Martin Dubravka #Emil Forsberg #Marcus Danielson
;