Euro 2020: Portugal tumbang di tangan Jerman, jaring dua gol sendiri

Astro Arena
Jun 20, 2021 08:31 MYT
Cristiano Ronaldo meraikan gol yang dijaringkan dalam perlawanan Euro 2020 kumpulan F antara Portugal dan Jerman di Munich, 19 Jun, 2021. (Foto AP)
PORTUGAL 2 JERMAN 4
Jerman memanfaatkan dua gol sendiri Portugal untuk menang 4-2 dalam perlawanan Kumpulan F, Euro 2020 awal pagi tadi.
Cristiano Ronaldo meletakkan juara bertahan, Portugal, di depan pada minit ke-15, di mana gol itu turut membolehkannya menyamai rekod Miroslav Klose sebagai pemain Eropah paling banyak menjaringkan gol dalam Piala Dunia dan Kejohanan Eropah -- 19 gol.
Bagaimanapun, Jerman kendalian Joachim Low bangkit untuk mendahului sebelum waktu rehat menerusi gol sendiri dua pemain Portugal, Ruben Dias dan Raphael Guerreiro.
Pada 10 minit terakhir babak pertama, voli tidak kemas Robin Gosens disepak Dias ke arah gawang sendiri dan menewaskan penjaga gol, Rui Patricio, sebelum sepakan lintang rendah Joshua Kimmich juga berkesudahan sama, kali ini menerusi sentuhan terakhir Guerreiro.
Juara dunia 2014 itu kemudian mengesahkan kemenangan mereka dalam babak kedua dengan Kai Havertz dan Gosens mencatatkan nama selaku penjaring -- masing-masing pada minit ke-51 dan 60 -- sebelum Diogo Jota merapatkan jurang buat Portugal pada minit ke-67.
Kedua-dua pasukan akan melengkapkan perlawanan Kumpulan F pada awal pagi Khamis ini dengan Portugal bertemu pendahulu, Perancis, di Budapest manakala Jerman pula akan melayani Hungary di Munich.

= 15 Ronaldo 35 Rúben Dias og 39 Raphaël Guerreiro og 51 Havertz 60 Gosens 67 Diogo Jota #EURO2020 pic.twitter.com/S7BQFCqqjR

— UEFA EURO 2020 (@EURO2020) June 19, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Portugal #Cristiano Ronaldo #Jerman #Euro 2020 #Kumpulan F #gol sendiri
;