Euro 2020: Gol bersejarah Pohjanpalo ditenggelami insiden Eriksen
Astro Arena
Jun 13, 2021 09:39 MYT
Jun 13, 2021 09:39 MYT
DENMARK 0 FINLAND 1
Finland menandakan penampilan pertama mereka dalam kejohanan utama dengan kemenangan 1-0 ke atas Denmark tetapi kejayaan dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Euro 2020 itu dibayangi dengan insiden Christian Eriksen tumbang di atas padang.
Perlawanan di Stadium Parken itu terpaksa ditunda pada penghujung babak pertama selepas pemain tengah Inter Milan, Eriksen, tiba-tiba tumbang tanpa sebarang sentuhan pemain di sekelilingnya.
Rakan sepasukan dan pengadil, Anthony Taylor, menggesa pasukan kesihatan untuk segera masuk ke padang bagi memberikan bantuan dan pemain lain membuat tembok perlindungan di sekeliling mereka ketika usaha menyelamatkan pemain itu.
Pemain berusia 29 tahun itu diusung keluar padang sebelum Kesatuan Bolasepak Denmark memberikan perkhabaran positif bahawa Eriksen sedar dan akan menjalani pemeriksaan lanjut selepas dikejarkan ke hospital.
Kedua pasukan kemudian bersetuju untuk meneruskan perlawanan itu selepas hampir dua jam ditangguhkan dan Joel Pohjanpalo memastikan kemenangan bersejarah Finland pada minit ke-60 menerusi gol tunggalnya ke atas Denmark, yang turut terlepas peluang menerusi sepakan penalti Pierre-Emile Hojbjerg.
Denmark seterusnya akan meneruskan kempen mereka dengan menentang pendahulu Kumpulan B, Belgium, di Compenhagen pada Jumaat depan manakala Finland pula akan berdepan Russia sehari sebelumnya.
#gol bersejarah
#Euro 2020
#Belgium
#Finland
#Kumpulan B
#Christian Eriksen
#Anthony Taylor
#pengadil
#Joel Pohjanpalo