Euro 2020: Bale tebus kesilapan, bantu Wales benam Turki
Astro Arena
Jun 17, 2021 10:02 MYT
Jun 17, 2021 10:02 MYT
TURKI 0 WALES 2
Wales semakin hampir dengan pusingan kalah mati Euro 2020 selepas Gareth Bale mencetuskan dua gol yang mengapit kegagalannya menyudahkan sepakan penalti untuk membantu skuad kendalian Robert Page itu menewaskan Turki 2-0 awal pagi tadi.
Bale, yang menghulurkan umpanan gemilang untuk disudahkan Aaron Ramsey pada mini ke-42 di Baku, gagal menyempurnakan sepakan penaltinya selepas sejam permainan, sekali gus membazirkan peluang untuk meletakkan Wales di kedudukan selesa.
Bagaimanapun, semifinalis Euro 2016 itu, mengatasi kekecewaan berkenaan dengan bertahan sebaik mungkin sebelum Bale sekali lagi bertindak sebagai pencetus yang membantu jaringan Connor Roberts pada penghujung permainan.
Kemenangan itu meletakkan Wales di tangga kedua Kumpulan A di belakang Itali dan kelihatan berpeluang cerah untuk ke pusingan 16 memandangkan empat pasukan di tempat ketiga terbaik juga akan mara ke pusingan berikutnya.
Seterusnya, Wales akan bertemu Itali di Roma manakala Turki pula akan ke Baku bagi perlawanan menentang Switzerland, Isnin ini.