Euro 2016: Wales dan England teruskan kemaraan ke pusingan kalah mati

Ian Johan Ariff
Jun 20, 2016 05:23 MYT
Penyerang Wales, Gareth Bale (kanan) membuat cubaan sewaktu perlawanan Kumpulan B di antara Wales dan Rusia. - AFP PHOTO / MARTIN BUREAU
WALES dan England mara ke pusingan kalah mati Euro 2016 selepas tamat perlawanan terakhir kumpulan B.
Skuad Wales bimbingan Chris Coleman menewaskan Rusia 3-0 untuk muncul juara kumpulan dalam penyertaan kali kedua pasukan itu dalam kejohanan utama Eropah.
England pula sekadar seri tanpa jaringan dengan Slovokia untuk muncul naib juara kumpulan walaupun berjaya menduduki tangga teratas minggu lalu selepas menundukkan Wales 2-1.
Dalam perlawanan Wales bertemu Rusia, Aaron Ramsey membuka jaringan dengan lambungan cantik melepasi penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev pada minit ke-11.
Gol kedua Wales dijaringkan pemain pertahanan, Neil Taylor pada minit ke-20.
Ia merupakan gol pertamanya di peringkat antarabangsa.
Pada babak kedua, Wales yang terus menguasai permainan dan melancarkan serangan akhirnya mendapat gol ketiga menerusi bintang Real Madrid, Gareth Bale pada minit ke-67.
Bale kini merupakan penjaring terbanyak Euro 2016 dengan tiga gol.
Wales akan bertemu pasukan yang menduduki tempat ketiga dari kumpulan A, C atau D.
England pula membuat pertukaran enam pemain pada kesebelasan utama menentang Slovakia, termasuk merehatkan kapten pasukan, Wayne Rooney.
Ternyata percaturan pengurus Roy Hodgson itu membawa padah apabila gagal menemui penyudah walaupun menguasai 61% perlawanan.
England mempunyai peluang terbaik untuk membuka jaringan pada babak pertama namun Jamie Vardy gagal menewaskan penjaga gol Slovakia, Matus Kozacik.
Penjaga gol yang beraksi untuk kelab Republick Czech, Viktoria Plzen itu turut menghalang percubaan pertahanan Liverpool, Nathaniel Clyne.
Slovakia yang diketuai pemain Liverpool, Martin Skrtel terus bertahan dengan baik apabila mengeluarkan pelbagai cubaan dan hantaran bahaya ke dalam kotak penalti.
England akan bertemu naib juara dari kumpulan F yang dibarisi Hungary, Portugal, Iceland dan Austria dalam perebutan tempat ke suku akhir.
#England #Euro 2016 #Rusia #Slovakia #Wales
;