Euro 2016: Sturridge wira England!

Ian Johan Ariff, Israr Khalid
Jun 17, 2016 00:01 MYT
Penyerang England, Daniel Sturridge meraikan jaringan gol 2-1 pada perlawanan kumpulan B Euro 2016 antara England dan Wales di Stadium Bollaert- Delelis di Lens pada 16 Jun 2016. - Foto AFP/Paul Ellis
Keputusan Roy Hodgson memasukkan Daniel Sturridge dan Jamie Vardy pada separuh masa kedua nyata berbaloi apabila kedua-duanya mencetak gol untuk England mengutip tiga mata daripada perlawanan menentang Wales.
Sturridge dan Vardy masuk menggantikan Raheem Sterling dan Harry Kane yang gagal memberikan impak sepanjang babak pertama, yang menyaksikan England menguasai permainan.
Wales terlebih dahulu di depan apabila sepakan percuma deras Gareth Bale dari jarak 27 meter pada minit ke-42 gagal ditepis keluar penjaga gol England, Joe Hart.
Sepuluh minit selepas dimasukkan, Vardy membuktikan ketajamannya selaku mesin gol juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Leicester City dengan gol penyamaan pada minit ke-56.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Sturridge muncul wira buat The Three Lions menerusi gerakan satu dua menarik dengan Vardy dan Delle Ali yang membuahkan gol ketika dua minit masa kecederaan.
England kini melonjak ke tangga teratas dalam kumpulan B dengan empat mata, diikuti Wales tiga mata dan Slovakia serta Rusia masing-masing tiga dan satu mata.
Saingan kumpulan C menyaksikan Ireland Utara melakar sejarah apabila mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penyertaannya apabila menundukkan Ukraine 2-0.
Gareth McAuley meletakkan skuad Norn Iron di depan pada minit ke-49 menerusi tandukan yang memperdaya penjaga gol Ukraine, Andriy Pyatov hasil 'set-piece' daripada Oliver Norwood, yang juga merupakan gol pertama yang dijaringkan Ireland Utara dalam kejohanan Eropah.
Permainan terpaksa dihentikan buat seketika pada minit ke-58 ekoran hujan lebat dan hujan batu, dan disambung dua minit kemudian.
Walaupun menguasai permainan dan melancarkan lebih banyak percubaan, Ukraine gagal menjelmakan sebarang gol untuk sekurang-kurangnya mengutip mata pertama dalam kempen kali ini.
Ketumpulan jentera serangan Ukraine terus dimanfaatkan Ireland apabila pemain gantian, Niall McGinn melengkapkan kemenangan dengan gol kedua pasukan pada minit terakhir permainan.
Pertembungan Jerman dengan Poland pula hambar dengan tiada sebarang gol dijaringkan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan masing-masing memiliki peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan, namun gagal disudahkan dengan baik.
Penyerang skuad Die Mannschaft, Mario Gotze tumpul di hadapan gol sementara sensasi Helang Putih, Robert Lewandowski pula dikunci rapat hingga menyukarkan gerakan jentera serangan menembusi benteng Jerman.
Keputusan seri bermakna kedua-dua pasukan masing-masing berkongsi empat mata, dengan Jerman mengungguli kumpulan C di hadapan Poland atas kelebihan perbezaan gol.
#England vs Wales #Euro 2016 #euro2016 #Germany vs Poland