Euro 2016: Spekulasi perpindahan tidak jejaskan Paul Pogba

Astro Arena
Jun 10, 2016 14:18 MYT
Paul Pogba beraksi bersama Juventus - Photo AFP
Tanpa kelibat Karim Benzema dalam skuad Les Bleus kali ini, seluruh Perancis dilihat bakal mengalihkan perhatian mereka kepada pemain tengah, Paul Pogba.
Bagaimanapun, nama pemain berusia 23 tahun itu yang kini beraksi bersama Juventus dalam Serie A, Itali sedang hebat dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Bimbang spekulasi tersebut mampu menggugat fokus bekas pemain muda Manchester United itu, pengendali Perancis, Didier Deschamps, memberi jaminan bahawa Pogba mampu mengendalikan situasi itu dengan tenang.
MESTI BACA: EURO 2016: Sembilan bintang Eropah jadi tumpuan
"Kami lihat Paul sering fokus ketika sesi latihan, dia tidak menampakkan sebarang tanda-tanda sedang sibuk memikirkan soal masa depannya kecuali memberikan aksi yang baik buat Perancis.
"Ketika ini apa yang saya tahu dia seorang pemain Perancis dan Juventus. Walaupun dia masih muda, dia cukup matang untuk mengendalikan perkara ini," jelas Deschamps.
Turut menyuarakan sokongan sama ialah penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.
"Dia tahu akan peranannya, dia sudah menjadi pemain yang matang.
"Paul juga sedar bahawa dia kini tidak lagi tampil selaku pemain berbakat tetapi sebagai pemain berkelas dunia," kata Lloris.
Spekulasi mengenai perpindahannya ke Real Madrid mula tersebar apabila terdapat laporan di Sepanyol yang mengatakan kelab itu bersedia untuk membida GBP98 juta (RM573 juta) ke atas Pogba bagi memastikan dia tidak menyertai pasukan lain.
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, sebelum ini turut mengakui berminat melihat Pobga beraksi di Santiago Bernabeu.
#Euro 2016 #euro2016 #Juventus #Paul Pogba #Perancis #Real Madrid
;