Euro 2016: Ronaldo tak buat apa pun - Ledley
Astro Arena
Julai 8, 2016 23:26 MYT
Julai 8, 2016 23:26 MYT
PEMAIN tengah Wales, Joe Ledley, berpendapat Cristiano Ronaldo tidak berbuat apa-apa selain menjaringkan gol di samping menggelar aksi bintang Real Madrid itu sebagai 'tidak berguna'.
Ronaldo menyamai rekod Michel Platini dengan sembilan gol di pentas Kejohanan Eropah apabila tandukannya pada minit ke-50 membantu Portugal melakar kemenangan 2-0 ke atas Wales di peringkat separuh akhir, Rabu lalu.
Penjaring terbanyak Portugal itu turut membantu Nani meledak gol kedua selepas rembatan lemahnya singgah ke kaki bekas pemain Manchester United itu.
Bagaimanapun, Ledley tidak berasa yakin dengan sumbangan Ronaldo di Parc Olympique Lyonnais, sebaliknya memuji aksi rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Gareth Bale.
"Dia antara salah seorang pemain yang sentiasa memberi masalah kepada pihak lawan.
"Ronaldo tidak pernah beri segala-galanya seperti Bale, dia sentiasa beri aksi terbaik, sering menguasai bola.
"Ada saja yang dia cuba lakukan.
"Dua gol dijaringkan langsung tiada kualiti. Rembatan Ronaldo langsung tidak berguna, selalunya dia melakukan rembatan dari jarak jauh tetapi kali ini dia hanya mampu melakukan tampanan mudah (tandukan) dari jarak dekat," ujarnya.
Walaupun Ledley mengakui Ronaldo memiliki lompatan yang cukup sempurna, namun dia melihat selain daripada itu, bintang Real Madrid itu langsung tidak menghadirkan sebarang fungsi di atas padang.
"Kita tidak boleh menafikan kehebatan Ronaldo, dia merupakan antara pemain terbaik dunia.
"Tetapi kami mengalami hari di mana dia beraksi dengan hambar, namun mereka masih mampu ke final.
"Saya harap dia beraksi dengan baik nanti."