Euro 2016: Permulaan gah buat juara dunia Jerman, benam Ukraine 2-0
Israr Khalid
Jun 13, 2016 08:52 MYT
Jun 13, 2016 08:52 MYT
JERMAN membuka saingan Kumpulan C temasya tahun ini dengan cemerlang apabila gol Shkodran Mustafi dan Bastian Schweinsteiger melakar kemenangan pasukan itu ke atas Ukraine di Lille.
Mustafi menyempurnakan hantaran Toni Kroos daripada sepakan percuma pada minit ke-19 untuk Jerman mendahului permainan.
Turun sebagai penyandang juara dunia, Jerman yang mendominasi perlawanan bernasib baik apabila beberapa asakan bahaya Ukraine yang mencari gol penyamaan gagal membolosi gawang yang dikawal Manuel Neuer.
Neuer cemerlang menafikan rembatan deras Yvhen Konoplyanka sebelum pertahanan Jerome Boateng berusaha keras menolak keluar bola yang hampir melepasi garisan gol.
Masuk menggantikan Mario Gotze, Schweinsteiger melengkapkan kemenangan dengan menampan kemas hantaran lintang Mesut Ozil daripada satu serangan balas pada minit terakhir perlawanan.
Sementara itu, hasrat Ireland Utara membuka lembaran pertama penyertaan dalam kancah Piala Eropah dengan cemerlang tidak kesampaian apabila terpaksa tunduk kepada Poland.
Tatkala tumpuan lebih terarah kepada penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski, Arkadiusz Milik muncul wira Poland apabila rembatan leret hasil umpanan Jakub Blaszczykowski pada minit ke-51 menewaskan pertahanan dan penjaga gol Ireland Utara.
Dalam saingan pertama kumpulan D pula, gol pemain tengah Real Madrid, Luka Modric cukup buat Croatia mengutip tiga mata penuh ke atas Turki.
Modric menjaringkan gol menerusi satu 'volley' cantik dari luar petak penalti empat minit sebelum tamat masa pertama, dan menjadi gol tunggal perlawanan.
Croatia berpeluang menambah jaringan, namun sepakan percuma kapten pasukan Darijo Srna dan tandukan Ivan Perisic sekadar singgah pada palang gol Turki.