Euro 2016: O'Neill sanjung wira-wira Ireland

Astro Arena
Jun 23, 2016 17:13 MYT
Ireland mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati Euro 2016 dengan kemenangan ke atas Itali. - Foto AFP
Martin O'Neill memuji wira-wira Republik Ireland selepas mereka mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati Euro 2016 dengan kemenangan ke atas Itali.
Tandukan Robbie Brady pada minit ke-85 menyaksikan Ireland meraih kemenangan 1-0 dalam saingan Kumpulan E untuk meraih tangga ketiga.
Wes Hoolahan sebelumnya terlepas satu peluang gemilang sebelum melintangkan umpanan untuk jaringan Brady.
O'Neill turut memuji pemain-pemainnya kerana dapat mengatasi kekecewaan kerana dinafikan satu sepakan penalti apabila James McClean dilihat telah dikasari.
"Tiada seorang pemain pun di luar sana yang berpakaian baju Ireland yang tidak beraksi laksana wira.
“Memang ada kekecewaan kerana tidak mendapat satu sepakan penalti tapi kami terpaksa mengatasinya. Malah, kami turut mendapat semangat daripadanya.”
O'Neill berasakan peluang Ireland mungkin sudah berakhir apabila Hoolahan gagal membuat jaringan dalam situasi satu lawan satu dengan Salvatore Sirigu.
“Saya harus mengakuinya bahawa saya khuatir kami mungkin tidak akan mendapat peluang sebaik itu lagi. Tapi kami dapat juga dan dia melintangkan umpanan cantik dan Brady memberanikan diri untuk menyudahkannya.”
O'Neill merumuskan pasukannya telah menyerlahkan kualiti mereka dalam kejohanan ini.
“Kami menguasai untuk satu tempoh yang lama dan ada kalanya bermain dengan mengagumkan. Jelas sekali ada semangat tinggi di kalangan pemain-pemain tapi itu semata-mata tidak akan memenangkan kami perlawanan.
“Sesetengah pemain semakin matang dan semakin cemerlang dalam tempoh dua tahun ini. Kami terus berikhtiar dan pemain-pemain tidak berputus-asa.
Menanti Ireland dalam pusingan 16 terakhir ialah Perancis di Lyon pada Ahad.
“Saya ternanti-nantikan perlawanan ini. Kami akan berdepan pasukan tuan rumah dan mereka sangat kuat.
“Mereka adalah pasukan pilihan untuk menang tapi jika kami sempat pulih, kami mahu bermain sehebat pada malam ini,” katanya.
#berita bola sepak #berita Euro #Euro 2016 #Ireland #Irish #Martin O'Neill
;