Euro 2016: Joao Mario yakin mampu kecewakan Perancis
Astro Arena
Julai 9, 2016 13:57 MYT
Julai 9, 2016 13:57 MYT
JOAO Mario berharap Portugal mampu memadamkan memori pahit 2004 dengan turun selaku pasukan underdog yang akan membenam hasrat pasukan tuan rumah menjelang final Euro 2016 berdepan Perancis.
Portugal menjadi pasukan tuan rumah dan pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Eropah 12 tahun lalu, namun dikejutkan Greece dengan keputusan 1-0.
Jaringan Angelos Charisteas pada minit ke-57 melenyapkan harapan seluruh Portugal.
Kini, Portugal bakal berada di dalam situasi sama seperti Greece, berdepan Perancis yang beraksi baik di laman sendiri, selepas menewaskan juara dunia Jerman, 2-0 di Marseille.
Anak buah Fernando Santos turut mengesahkan kemaraan ke final dengan keputusan sama berdepan Wales sehari sebelum itu.
"Ini adalah final, Perancis tidak akan memandang rendah kemampuan kami," jelas pemain Sporting Lisbon itu yang baru berusia 11 tahun ketika Portugal mara ke final pada 2004.
"Tahun 2004 Portugal tidak bernasib baik. Walaupun kali ini kami bukan pilihan tetapi saya yakin kami mampu menang, kami mahukan kejuaraan ini."
Tumpuan seperti biasa akan terarah kepada Cristiano Ronaldo yang bertekad menjuarai kejohanan bersama skuad negaranya.
Ronaldo menyamai rekod Michel Platini dengan sembilan gol di pentas Kejohanan Eropah, dan sekiranya bintang Real Madrid itu berjaya meledak gol dalam final, dia bakal diangkat sebagai penjaring terbanyak dalam Kejohanan Eropah.
Bagaimanapun, pengendali Jerman, Joachim Low, percaya Ronaldo tidak mampu menggugat keampuhan Perancis sementara pengendali Wales, Chris Coleman, memberi kepercayaan terhadap pasukan itu.
"Semua orang berhak beri pendapat masing-masing.
"Jurulatih Wales mahukan kami menang, ini akan menjadi motivasi kami, kami juga mahu menang.
"Ramai muka baharu dalam skuad ini, semua pemain telah melepasi halangan masing-masing untuk mara ke final."
Sementara itu, Perancis turut dijangka akan menggunakan khidmat pemain berusia 22 tahun, Samuel Umtiti, sekali lagi.
Pemain yang akan berhijrah ke Barcelona itu mempamerkan aksi ampuh di bahagian pertahanan ketika aksi 5-2 berdepan Iceland menggantikan Adil Rami yang digantung.
Namun, Didier Deschamps memberi kepercayaan kepada pemain itu turun berdepan Jerman walaupun Rami sudah boleh beraksi.
"Saya terkejut dengan kemampuannya," akui Blaise Matuidi.
"Dia masih muda namun beraksi dengan cukup baik walaupun ini kejohanan pertamanya bersama skuad senior.
"Dia layak menerima pujian ini, dia mempamerkan kematangan dan sangat tenang di atas padang. Kerana itulah Barcelona menandatanganinya."