Euro 2016: Jerman mudah jinakkan Slovakia

Astro Arena
Jun 27, 2016 08:45 MYT
Penyerang Jerman Mario Gomez (tengah) meraikan jaringan bersama pemain tengah Julian Draxler dan Thomas Mueller (kanan) pada perlawanan menentang Slovakia awal pagi Ahad. - Foto AFP / PATRIK STOLLARZ
JERMAN mula mengeluarkan taring mereka selepas membenam Slovakia 3-0 di Lille untuk menempah slot suku akhir Euro 2016, awal pagi tadi.
Hanya satu gol berjaya dihasilkan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Ireland Utara, Jerman bangkit dengan mempamerkan aksi yang cemerlang berdepan Slovakia.
Pengurus pasukan Joachim Low memberikan kepercayaan dengan menurunkan Jerome Boateng yang masih dibelenggu masalah kecergasan membuahkan hasil apabila mencetak gol pertama perlawanan pada minit kelapan.
Pada minit ke-13, pertahanan Martin Skrtel menjatuhkan Mario Gomez, Mesut Ozil gagal menyumbatkan jaringan kedua Jerman selepas sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Slovakia Matus Kozacik.
Sebelum separuh masa pertama berakhir, pemain Wolfsburg, Julian Draxler berjaya mencari Mario Gomez untuk menjaringkan gol kedua perlawanan.
Bersambung babak kedua, Draxler melengkapkan kemenangan bergaya buat Jerman selespas mencetak jaringan gol pada minit ke-63 hasil umpanan pertahanan Mats Hummels.
Jerman bakal bertemu juara bertahan Sepanyol, atau Itali dalam aksi suku akhir.
#Euro 2016 #Jerman #Slovakia #suku akhir
;