Euro 2016: England kecewa, Switzerland dan Wales lakar kemenangan
Ian Johan Ariff
Jun 12, 2016 08:26 MYT
Jun 12, 2016 08:26 MYT
ENGLAND memulakan kempen Euro 2016 dengan keputusan yang agak mengecewakan apabila sekadar seri 1-1 dengan Rusia dalam aksi Kumpulan B.
Penjaga gol Rusia Igor Akinfeev beraksi cemerlang apabila berjaya menyelamatkan cubaan jarak dekat Adam Lallana dan juga kapten pasukan Wayne Rooney.
England mendapat gol menerusi sepakan percuma Eric Dier pada minit ke-73.
Namun Rusia menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan menerusi tandukan kapten pasukan Vasili Berezutski.
Dalam satu lagi saingan Kumpulan B, Wales menang tipis ke atas Slovakia 2-1.
Kepulangan dramatik Wales ke kancah kejohanan utama selepas 58 tahun itu bermula dengan jaringan pemain sayap Real Madrid, Gareth Bale seawal minit ke-10.
Kelekaan pertahanan Wales pada minit ke-61 dihukum Ondrej Duda yang baru seminit masuk menggantikan Patrik Hrosovsky.
Sembilan minit sebelum tamat, Hal Robson-Kanu menyempurnakan lorongan Aaron Ramsey untuk gol kemenangan Wales.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, Switzerland berjaya menewaskan Albania 1-0.
Gol yang dijaringkan Fabian Schar pada minit ke-5 permainan sudah memadai buat skuad bimbingan Vladimir Petkovic untuk mengutip tiga mata.
Jaringan dilakukan Schar apabila dia berjaya menanduk masuk sepakan penjuru oleh Xherdan Shaqiri.
Sementara itu, kapten pasukan Albania Lorik Cana pula dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua setelah menepis bola dengan tangan pada minit ke-36.
Ia merupakan kad merah pertama dalam kejohanan ini.