Eugenius Lo cemerlang raih emas ketiga, samai rekod kebangsaan
Bernama
September 17, 2018 06:29 MYT
September 17, 2018 06:29 MYT
Atlet memanah, Eugenius Lo Foh Soon sekali lagi menceriakan kem Sabah dengan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas ketiganya menerusi acara memanah 30 meter compound lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19.
Eugenius, 17, mengumpul 360 mata menyamai rekod kebangsaan yang dicipta M. Khambeswaran dari Pulau Pinang semasa Sukma ke-18 di Sarawak pada 2016.
Khambeswaran pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan kutipan 359 mata dan pingat gangsa milik rakan sepasukannya Syed Imran Syed Ibrahim yang juga mengumpul 359 mata.
Dalam acara yang berlangsung di lapangan memanah, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, Eugenius turut memperbaharui rekod acara memanah 50m compound lelaki untuk merangkul pingat emas.
Pada Ahad, Eugenius meraih emas bagi acara memanah 70m compound lelaki serta pingat perak bagi acara memanah 90m compound lelaki.
Ketika ditemui, Eugenius yang berketurunan Sino dari Kota Kinabalu berkata dia merasa bersemangat selepas menyumbang tiga pingat emas untuk kontinjen Sabah dan ingin mengekalkan rentak cemerlang dalam acara berikutnya.
"Kemenangan ini di luar jangkaan dan saya mahu menghadiahkannya kepada jurulatih serta negeri saya yang tercinta. Saya mahu berjuang lagi dan membuat aksi cemerlang terutama pada acara berpasukan nanti," katanya.
Sementara itu, kontinjen Pahang meraih emas keempat acara memanah dalam acara 30m compound wanita setelah Nur Azlin Azlan melakukan jumlah panahan 356 mata.
Nur Azlin menewaskan atlet Pulau Pinang, M.Pritiswary yang meraih pingat perak selepas berkongsi mata dengan atlet Sarawak, Esther Yong Yin Ze sebanyak 354 mata namun kemenangan ditentukan dengan penentuan shot out.
Pahang sebelum ini meraih emas dalam acara 50m recurve lelaki, 90m compound lelaki dan 70m compound wanita.
Kontinjen Terengganu pada Isnin meraih dua pingat emas menerusi Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan dan Nur Aqilah Yusof, masing-masing dalam acara 30m lelaki dan wanita.
Hari ini, sukan memanah menawarkan dua pingat emas masing-masing dalam acara recurve lelaki dan wanita individu.
-- BERNAMA