ESPN nobat Mohamed Salah Pemain Terbaik 2017, pintas Ronaldo dan Messi

Agensi
Januari 1, 2018 07:23 MYT
Salah, 25, dinobatkan Pemain Terbaik 2017 daripada lebih 100 wartawan sukan. - Gambar fail REUTERS
Penyerang Mesir, Mohamed Salah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik 2017 menerusi satu undian yang dijalankan saluran sukan, ESPN.
Salah, 25 tahun, terpilih dari undian lebih 100 wartawan sukan.
Penyerang sensasi kelab Inggeris, Liverpool itu mendahului bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan lagenda bola sepak Barcelona, Lionel Messi, selepas meraih lebih 70 peratus undian.
Sementara itu, orang ramai turut mengundi pasukan Real Madrid sebagai pasukan terbaik dunia dan Zinedine Zidane dinobatkan pengurus nombor satu.
Turut manis, Salah baru sahaja dinobat pemain terbaik Liga Perdana Inggeris untuk November 2017, mengenepikan nama-nama besar seperti Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling dari Manchester City, Robbie Brady dari Burnley, Ashley Young dari Manchester United, dan Eden Hazard dari Chelsea.
Selain itu beliau turut merangkul anugerah pemain Afrika Terbaik oleh BBC.
Terbaharu, media melaporkan, kelab Sepanyol Real Madrid sedang mengintai Salah dengan yuran perpindahan dikatakan mencecah lebih 100 juta Euros.
#espn #Mohamed Salah #Pemain Terbaik Arab 2017 #Penyerang Liverpool #Penyerang Mesir #undian
;