Eric Bailly diibarat permata baharu Manchester United

Astro Arena
September 8, 2016 13:06 MYT
Eric Bailly segera melengkapkan barisan pertahanan skuad Jose Mourinho, bergandingan dengan Daley Blind. - Gambar fail
Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba mungkin mendapat tumpuan di Manchester United tetapi Lee Sharpe percaya ketibaan Eric Bailly adalah yang paling penting.
Pemain pertahanan tengah berusia 22 tahun itu, yang tiba di Old Trafford dilaporkan dengan yuran RM163 juta (30 juta Pound) dari Villarreal, segera melengkapkan barisan pertahanan skuad Jose Mourinho, bergandingan dengan Daley Blind.
Bekas pemain United era 90-an, Sharpe, kagum dengan pemain muda itu dan meramalkan akan ada pulangan lebih besar daripada Bailly, yang juga pemain antarabangsa Ivory Coast.
"Pasukan ini kini kelihatan benar-benar kukuh dalam setiap bahagian, saya fikir pengurus mengukuhkan kawasan yang baik dengan pemain berkualiti dan seluruh pasukan menaikkan 'standard' masing-masing untuk menyertai mereka," kata bekas pemain sayap United itu.
"Ibrahimovic jelas akan menjadi bintang besar, dan begitu juga Pogba, tetapi saya rasa yang menonjol bagi saya pada masa ini adalah Bailly yang berada di bahagian tengah itu.
"Dia kelihatan pantas, selesa dengan bola, dia membaca permainan dengan baik.
"Jika dia terus bermain seperti yang telah dilakukan dalam beberapa permainan pertama, saya fikir mereka menemui permata sebenar."
#bola sepak #Eric Bailly #Ivory Coast #Manchester United #Old Trafford
;