EPL: Stuart Pearce 'tidak terkejut' jika Pep Guardiola tinggalkan Manchester City

Astro Arena
Oktober 26, 2024 12:12 MYT
Tahun ini merupakan merupakan musim terakhir kontrak Guardiola. - Foto Stadium Astro
BEKAS jurulatih West Ham, Stuart Pearce, tidak akan berasa terkejut sekiranya musim 2024/2025 merupakan tahun terakhir Pep Guardiola bersama Manchester City.
Guardiola menyertai City sejak 2016 dan telah memenangi enam trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) serta dua Piala FA, empat Piala EFL, satu Liga Juara-Juara (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia.
Jurulatih berusia 53 tahun itu telah mengendalikan 485 perlawanan dalam semua kejohanan dan telah menang 352 daripada itu dengan purata kemenangan 76.6 peratus, dengan tahun ini merupakan merupakan musim terakhir kontraknya.
Ketika ditanya mengenai musim terakhir Guardiola, Pearce yang turut pernah menjadi pengurus City pada 2005 hingga 2007 menjelaskan: "Ya, saya fikir mungkin tahun lepas juga. Intensiti dia bekerja agak luar biasa.
"Saya rasa Jurgen Klopp pergi adalah kerana intensiti cara bekerjanya. Saya fikir perkara yang sama boleh berlaku pada Pep.
"Tetapi saya tidak terkejut jika ini adalah musim terakhirnya, saya fikir City perlu berjaga-jaga dan bersedia sekiranya waktu itu tiba kerana kemungkinan akan berlakunya penurunan mendadak apabila Pep pergi.
"Anda perlu lihat seperti di Manchester, dan selepas senario pemergian Alex Ferguson apabila dia tiada.
"Secara peribadinya, saya berharap dia akan kekal dalam kancah bola sepak Inggeris untuk tempoh sedekad lagi kerana menonton bola sepak yang dia terapkan di City adalah sesuatu yang saya belum pernah lihat lagi sepanjang hidup saya." katanya. -- Stadium Astro
#Pep Guardiola #Manchester City #EPL #Stuart Pearce
;