EPL: Son Heung-min rasa lebih tekanan, tumpuan selepas menang Kasut Emas

Astro Arena
April 11, 2023 08:32 MYT
Aksi Son Heung-min selepas tamat perlawanan EPL antara Tottenham Hotspur dan Brighton & Hove Albion di Stadium Tottenham Hotspur, London, Britain, 8 April 2023. - REUTERS
BINTANG Tottenham, Son Heung-min, mengakui berasa lebih tekanan dan perhatian selepas memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Son menjaringkan 23 gol liga buat Spurs dalam kempen 2021-22 untuk menamatkannya selaku penjaring terbanyak bersama Mohamed Salah.
Ia merupakan rekod jaringan terbaiknya dalam satu musim EPL, lebih enam berbanding 17 yang dicatatkannya 12 bulan sebelum itu dan dia percaya kejayaan itu telah membuatkan dia berasa diberikan lebih perhatian berbanding sebelumnya.
Walaupun mengakui dia gemarkan tekanan seperti itu, Son tidak menolak bahawa tumpuan yang terlalu banyak diberikan ke atasnya telah membuat prestasinya menurun, di mana dia hanya dapat menjaringkan tujuh gol daripada 28 perlawanan EPL musim ini.
Tanpa mengendahkan bagaimana dia akan menamatkan musim 2022-23, Son yakin dia mampu bangkit lebih kuat dalam musim akan datang.
"Jika saya mahu memberikan alasan mengenai cara saya bermain, saya boleh menemui banyak alasan tetapi saya bukan seseorang seperti itu, yang memberikan alasan dan berkata, 'itu bukan diri saya yang sebenar'," katanya kepada wartawan.
"Ia berlaku, saya melupakannya dan menerima bahawa saya sudah tidak berada di tahap tertinggi.
"Musim lalu amat luar biasa dan untuk memenangi Kasut Emas merupakan momen ajaib yang memberikan saya lebih keyakinan.
"Memasuki musim baru, semua orang berkata 'Sonny sudah menang Kasut Emas' dan menjangkakan saya akan meneruskan rekod luar biasa itu tetapi adakalanya ia tidak semudah itu kerana anda diberikan lebih perhatian dan tekanan, di mana saya menggemarinya.
"Inilah sebabnya kami bermain, kerana saya gemarkan tekanan itu dan ia bermakna saya bukan pemain yang sempurna.
"Saya masih boleh berkembang berdasarkan umur saya dan lapan perlawanan terakhir ini akan menjadi amat penting buat diri saya dalam pasukan ini," katanya.
#Son Heung-min #Kasut Emas #Tottenham Hotspur #EPL
;