EPL sedang kaji had gaji kelab bagi tingkat persaingan - Steve Parish

Astro Arena
Oktober 20, 2023 12:16 MYT
"Selagi keseimbangan persaingan diutamakan, orang ramai perlu menerimanya," kata Parish. - Foto Stadium Astro
LIGA Perdana Inggeris (EPL) sedang mengkaji semula had tangga gaji kelab bagi mengekalkan persaingan liga divisyen utama itu, kata Pengerusi Crystal Palace, Steve Parish.
Liga berkenaan sedang mencari pelbagai cara untuk mengekalkan keseimbangan persaingan, termasuk mengehadkan tangga gaji kelab terkaya, sambil kelab bawahan pula mendapat wang penyiaran berganda.
"Selagi keseimbangan persaingan diutamakan, orang ramai perlu menerimanya," kata Parish dalam persidangan Minggu Pimpinan di Twickenham.
"Saya rasa ada perubahan yang sedang dilakukan. Mengehadkan kos skuad UEFA adalah satu idea yang baik.
"Mungkin sesuatu yang lebih daripada itu, tidak mengambil kira perolehan dengan had yang diletakkan, di mana terdapat kelainan tentang bagaimana perolehan itu berlaku.
"Terdapat beberapa perbincangan positif yang berlaku mengenainya. Kita juga perlu berhati-hati kerana bakal ada juga kesan yang tidak dijangka.
"Mudah-mudahan kami berada di situasi yang akan memberikan manfaat, bukan sahaja kepada kelab-kelab di EPL tetapi kepada keseluruhan sistem piramid dan keupayaan masing-masing untuk bersaing.
"Kami menyokong jika pesaing kami dapat melakukan lebih baik dan mencabar kami," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro
#Liga Perdana Inggeris #EPL #had tangga gaji kelab #Steve Parish
;