EPL: Sanchez terlepas jaringan hatrik
Astro Arena
September 18, 2016 08:30 MYT
September 18, 2016 08:30 MYT
ALEXIS Sanchez meledak dua gol dan terlepas satu sepakan penalti untuk memberikan kemenangan bergaya buat Arsenal 4-1 ke atas Hull City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium KCOM.
Di pertengahan minggu, Sanchez muncul wira Arsenal ketika menjaringkan gol penyamaan ketika berdepan Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara, memainkan peranan penting sekali lagi buat The Gunners, namun gagal mencetak hatrik.
Sanchez memastikan Arsenal di depan pada minit ke-17 selepas bola muntah hasil percubaan Theo Walcott.
Malang buat pasukan tuan rumah, pemain tengah Jake Livermore dilayangkan kad merah selepas bola terkena tangan di dalam kotak penalti. Sanchez gagal menyumbat gol menerusi sepakan penalti selepas penjaga gol, Eldin Jakupovic berjaya membaca pergerakan bola.
Bersambung di babak kedua perlawanan, giliran Walcott untuk menggandakan jaringan pada minit ke-55.
Hull City bangkit untuk merapatkan jurang menerusi jaringan pemain pertahanan, Harry Maguire pada minit ke-79 menerusi penalti.
Gol kedua Sanchez hadir pada minit ke-83, kembali mengukuhkan cengkamannya dengan rembatan kencang pada minit ke-83, manakala gol keempat Arsenal menerusi Granit Xhaka ketika minit-minit terakhir tamat permainan.