EPL: Roy Hodgson dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital
Astro Arena
Februari 16, 2024 12:00 MYT
Februari 16, 2024 12:00 MYT
PENGURUS Crystal Palace, Roy Hodgson, dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dipantau di Hospital selepas berasa tidak sihat sewaktu latihan pasukan itu malam tadi, demikian disahkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Pengendali berusia 76 tahun berkenaan sepatutnya menghadiri sidang media menjelang aksi menentang Everton awal pagi Selasa ini tetapi pengamal media yang sedang menunggu di Pusat Latihan New Beckenham dimaklumkan bahawa sesi itu tidak dapat dijalankan.
Berdasarkan laporan, Palace sedang dalam proses untuk memecat Hodgson, di mana bekas pengendali Eintracht Frankfurt, Oliver Glasner, merupakan calon pilihan untuk menggantikan tempatnya.
Palace kini menduduki tangga ke-15 EPL, hanya dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran.
Hodgson akan mengemudi perlawanannya yang ke-200 sebagai pengurus Palace sewaktu menentang Everton selepas pasukannya tewas 1-3 kepada Chelsea di Selhurst Park pada Selasa lalu.