EPL: Pemain Chelsea buat Pochettino hilang sabar

Astro Arena
November 26, 2023 10:20 MYT
Pengurus Chelsea Mauricio Pochettino kelihatan kecewa ketika perlawanan berlangsung. - Foto REUTERS
MAURICIO Pochettino "marah dan kecewa" selepas menyaksikan Chelsea dibelasah 1-4 di Newcastle dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), tengah malam tadi.
Pengurus Argentina itu berang dengan kekalahan berkenaan selepas persembahan longlai dalam separuh masa kedua di St James’ Park menyaksikan pertahanan, Reece James, secara tidak langsung memadamkan segala persembahan terpuji mereka ketika menentang Tottenham dan Manchester City sebelum rehat antarabangsa.
Pochettino yang menonton perlawanan itu dari tempat duduk penonton memandangkan perlu menjalani penggantungan berkata: “Kami tidak mempersiapkan diri dengan cara terbaik untuk bersaing hari ini, itu kebimbangan saya.
“Kami sangka sudah bersedia untuk bersaing pada hari ini, sebaliknya kami tidak mengikut elemen yang diperlukan untuk bersaing.
“Walaupun Newcastle tidak sehebat mana, ia adalah kemenangan mudah untuk persediaan Liga Juara-Juara (UCL) buat mereka. Kami berkunjung ke sini dan kami masih perlu buktikan bahawa kami adalah lawan yang sukar, untuk menang dan mengalahkan kami.
“Tetapi ia sangat mudah berikutan cara kami dibolosi dan cara kami begitu lembut dalam setiap terjahan. Kami tidak menunjukkan sikap bahawa kami sedang beraksi untuk sesuatu yang penting.
“Itulah yang membuatkan saya marah dan kecewa. Kami bercakap tentang kami adalah pasukan muda dan kami perlu belajar, namun prestasi seperti ini membuatkan saya cukup marah kerana ia mengenai cara anda menonjolkan personaliti dan karakter.
“Baiklah, kami masih mentah sebagai sebuah pasukan tetapi kami tidak boleh melepaskan peluang untuk menyajikan persembahan terbaik.” - Stadium Astro
#Mauricio Pochettino #EPL #Chelsea #Newcastle
;