EPL: Martinez kembali ke Manchester United selepas bergelar juara dunia

Astro Arena
Disember 29, 2022 10:55 MYT
Ten Hag sebelum ini memberikan peringatan buat Martinez (gambar) bahawa dia perlu segera kembali ke pangkuan Manchester United. - Foto Astro ARENA
LISANDRO Martinez kembali ke Manchester United selepas kejayaannya memenangi Piala Dunia bersama Argentina di Qatar, sekali gus akan menjadi satu lonjakan semangat buat skuad bimbingan Erik ten Hag berkenaan.
Penentuan sepakan dramatik dalam aksi final menyaksikan La Albiceleste menewaskan Perancis untuk bergelar juara dunia di Qatar, yang disusuli dengan keraian luar biasa di negara berkenaan, menyaksikan Martinez diberikan cuti tambahan oleh Ten Hag.
Bagaimanapun, ketiadaannya jelas mendatangkan masalah di bahagian pertahanan United, di mana Harry Maguire dan Victer Lindelof juga tidak dapat diturunkan kerana masalah kesihatan.
Ia menyaksikan Casemiro dan Luke Shaw terpaksa beraksi di posisi pertahanan tengah dalam dua perlawanan terakhir United -- menentang Burnley dalam Piala EFL dan Nottingham Forest dalam Liga Perdana Inggeris -- walaupun Raphael Varane dapat kembali diturunkan sewaktu menentang Nottingham dan Maguire pula beraksi sebagai pemain gantian.
Ten Hag sebelum ini memberikan peringatan buat Martinez bahawa dia perlu segera kembali ke pangkuan kelab itu dengan berkata: "Martinez sedang meraikan kejayaannya di Buenos Aires dan saya memahaminya. Ia pencapaian terbesar yang anda boleh capai.
"Tetapi dia juga perlu menerima bahawa pada 27 Disember, saingan EPL akan bersambung."
United akan meneruskan saingan EPL dengan bertandang ke laman Wolves pada Sabtu ini, di mana ia akan menyaksikan mereka melewati lima perlawanan dalam tempoh dua minggu bagi tiga kejohanan.

Back in the mix. Welcome home, @LisandrMartinez #MUFC

— Manchester United (@ManUtd) December 28, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#EPL #Manchester United #Lisandro Martinez #Erik ten Hag
;