EPL: Manchester United gantung Cristiano Ronaldo jumpa Chelsea
Astro Arena
Oktober 21, 2022 10:10 MYT
Oktober 21, 2022 10:10 MYT
CRISTIANO Ronaldo akan diketepikan daripada skuad Manchester United dalam pertembungan dengan Chelsea, malam minggu ini, gara-gara insiden dia meninggalkan padang lebih awal.
Bintang Portugis itu kecewa apabila langsung tidak dimasukkan ketika pasukannya mempamerkan permainan jitu dalam kemenangan 2-0 Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Tottenham di Old Trafford, semalam.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Ten Hag menjelaskan dia akan menangani tingkah laku pemain berusia 37 tahun itu dan The Red Devils mengesahkan Ronaldo tidak akan terbabit dalam perlawanan seterusnya menentang skuad The Blues bimbingan Graham Potter Blues berkenaan.
"Cristiano Ronaldo tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad Manchester United untuk perlawanan menentang Chelsea Sabtu ini," menurut satu kenyataan rasmi kelab itu.
"Selebihnya skuad akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk membuat persediaan menghadapi perlawanan itu."
Sementara itu, Ronaldo menegaskan di Instragram bahawa sikapnya tidak pernah berubah sejak dia membina karier sambil mengakui adakalanya ketegangan boleh mengundang perkara menjadi di luar kawalan.
“Buat masa ini, saya cuma rasa saya perlu terus bekerja keras di Carrington, menyokong rakan sepasukan dan bersedia untuk segala-galanya dalam mana-mana perlawanan.
"Menyerah kepada tekanan bukan satu pilihan. Ia tidak pernah berlaku. Ini adalah Manchester United dan kami mesti bersatu. Tidak lama lagi kami akan bersama semula."