EPL: Manchester City selangkah pertahan kejuaraan selepas atasi Everton
Astro Arena
Mei 15, 2023 10:30 MYT
Mei 15, 2023 10:30 MYT
EVERTON 0 MANCHESTER CITY 3
Ilkay Gundogan menjaringkan gol berganda ketika membantu Manchester City menghampiri gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kelima dalam enam musim dengan menewaskan Everton 3-0 di Goodison Park malam tadi.
Dengan kemenangan di Merseyside itu, dibantu dengan kekalahan 0-3 Arsenal kepada Brighton di laman sendiri, City hanya memerlukan satu kemenangan lagi daripada tiga baki perlawanan musim ini untuk bergelar juara dan mereka boleh melakukannya seawal hujung minggu ini seandainya dapat menewaskan Chelsea di laman sendiri.
Bahkan, mereka boleh mengesahkan kejuaraan lebih awal seandainya Arsenal tewas kepada Nottingham Forest sehari sebelum perlawanan di Stadium Etihad itu.
Gundogan merakamkan jaringan keempatnya dalam dua perlawanan apabila melakukan gol voli tinggi untuk membuka jaringan pada minit ke-37 sebelum melepaskan sepakan percuma lencong yang terus menerjah jaring pada minit ke-51.
Di antara dua jaringan itu, Erling Haaland turut menemui sasaran untuk mendaftarkan jaringannya yang ke-52 musim ini dan dilihat masih berpeluang untuk memecahkan rekod tertinggi 63 gol yang masih dipegang bekas penyerang Everton, Dixie Dean.
Arsenal, dalam pada itu, kelihatan hampir mustahil untuk bergelar juara musim ini selepas dibolosi gol Julio Enciso, Deniz Undav dan Pervis Estupinan dalam separuh masa kedua bertemu Brighton.