EPL: Manchester City himpit Arsenal
Sinar Harian
April 26, 2024 10:50 MYT
April 26, 2024 10:50 MYT
PENYANDANG juara Manchester City memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal selepas membelasah Brighton 4-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti American Express pada Jumaat.
The Citizens dibimbing Pep Guardiola membuka kempen gol di laman The Seagulls bermula dengan jaringan minit ke-17 yang dijana perancang, Kevin de Bruyne.
Gawang The Seagulls kendalian Roberto De Zerbi robek lagi kali ini menerusi bintang meningkat naik Phil Foden dengan gol pada minit ke-26 dan minit ke-34.
Pemain Argentina, Julian Alvarez melengkapkan kemenangan bergaya pasukan pelawat apabila meledakkan gol keempat City pada minit ke-62.
Kemenangan ke-23 selepas 33 perlawanan itu menyaksikan Manchester City mengumpul 76 mata satu mata di belakang Arsenal (77 mata) yang lebih satu perlawanan. - Sinar Harian