EPL: Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol tewaskan Spurs
Astro Arena
Januari 20, 2023 10:40 MYT
Januari 20, 2023 10:40 MYT
MANCHESTER CITY 4 TOTTENHAM HOTSPUR 2
Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam separuh masa pertama untuk menewaskan Tottenham 4-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal.
Spurs memanfaatkan kerapuhan pertahanan City -- terutama melibatkan penjaga gol, Ederson -- untuk mendahului menerusi jaringan Dejan Kulusevski dan Emerson Royal sebelum waktu rehat.
Bagaimanapun, City hanya memerlukan lapan minit selepas perlawanan bersambung untuk menyamakan kedudukan melalui dua gol pantas bermula dengan jaringan Julian Alvarez pada minit ke-51 sebelum Erling Haaland menamatkan kemarau gol selepas empat perlawanan, seminit kemudian.
City bernasib baik apabila percubaan Ivan Perisic terkena tiang gol tetapi Riyad Mahrez kemudian meletakkan mereka di depan pada minit ke-63 dan penyerang Algeria itu turut menjaringkan satu lagi gol pada lewat permainan.
Kemenangan itu menyaksikan City kini hanya ketinggalan lima mata di belakang Arsenal tetapi The Gunners masih memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.